SHAH ALAM- Pandu lawan arus di lebuhraya. Itulah yang dilakukan oleh seorang lelaki warga emas yang dikatakan sedang menghala ke Pusat Bandar Shah Alam. Hal tersebut dilakukan kerana dia ketiadaan kad Touch ‘n Go.

Kejadian tersebut dilaporkan telah berlaku di Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) pada Khamis, 29 Oktober 2020. Insiden tersebut walau bagaimanapun tular di media sosial apabila dirakam oleh pengguna jalan raya lain.

Kejadian yang berlaku pada jam 5 petang itu telah menyebabkan sebuah kenderaan terbabas manakala sebuah lagi kereta bertembung dengan kereta Perodua Kelisa yang dipandu lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pada mulanya lelaki berkenaan memandu dari rumahnya di Seksyen 8 menuju ke pasar raya di Seksyen 13, namun tersalah jalan dan memasuki LKSA.

Pemandu warga emas berusia 73 tahun itu kemudian berlanggar dengan kereta Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.

Menurut Baharudin, sebaik tiba di Plaza Tol Sri Muda, pemandu terbabit tiada kad Touch ‘n Go lalu berpatah balik melawan arus untuk pulang ke rumah.

Sebuah kereta Honda City dipandu di lorong kanan cuba mengelak Perodua Kelisa melawan arus itu lalu terbabas dan terbalik di sebelah kiri jalan di Kilometer 3.1 Lebuhraya LKSA.

Ketika kejadian, pemandu Honda City berusia 33 tahun itu sedang dalam perjalanan dari tempat kerja di Klang hendak pulang ke rumah di Kota Kemuning dan kemudian dibawa ke hospital oleh rakannya.

Pemandu warga emas itu kemudian berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah pusat bandar Kilometer 6.6 LKSA.

Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari tempat kerja di Bukit Jelutong dalam perjalanan pulang ke rumah di Sri Muda.

“Bagaimanapun pemandu Perodua Kelisa dan Perodua Myvi itu tidak cedera. Ketiga-tiga pihak sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, anak kepada warga emas itu menyatakan bapanya dibawa balik ke rumah oleh orang awam sebelum dia membawa bapanya ke IPD Shah Alam untuk membuat laporan polis.

Lelaki tersebut juga dikatakan kurang sihat dan kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Pemandu Perodua Kelisa itu kini ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu.


Tambahan lagi, pemandu Myvi dan adiknya telah memuat naik ciapan di akaun media sosial peribadi, meminta agar orang ramai jangan salahkan warga emas itu kerana warga emas tersebut sudah tua dan menderita masalah ingatan.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular