Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan wabak COVID-19 di Sabah akan dapat dikawal dalam masa empat minggu.

Menerusi sidang media harian COVID-19 pada 26 Oktober, Dr Noor Hisham menambah terdapat tanda-tanda positif di pantai timur Sabah dan tumpuan KKM sekarang adalah di kawasan pantai barat Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Walaupun sistem kesihatan di Sabah tidak runtuh, Dr Noor Hisham mengakui bahawa keadaannya kini lebih sukar dan mencabar.

“Namun begitu, pihak kami lebih bersedia pada kali ini berbanding bulan Mac yang lalu dari segi sumber manusia, kemudahan kesihatan dan peralatan pelindung diri (PPE),” katanya.

Dr Noor Hisham turut menolak dakwaan bahawa sistem kesihatan di Sabah telah runtuh disebabkan peningkatan kes COVID-19 yang begitu mendadak. 

Beliau memberi jaminan bahawa pihak mereka tidak menghadapi masalah kewangan dalam usaha menangani wabak COVID-19 kerana Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan beberapa peruntukan termasuk perolehan kecemasan untuk Sabah.

“Masyarakat beranggapan bahawa kita tidak menerapkan sistem kesihatan yang baik dan pada pandangan mereka ia seperti telah runtuh, tetapi itu tidak benar,” jelasnya.

“Dari segi kapasiti hospital di Sabah, penggunaan katil hanya 52% dan ICU (Unit Rawatan Rapi) memiliki 128 katil rawatan dengan penggunaan 60%. Kami juga mempunyai 26 pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah untuk tahap satu dan dua kes,” kata Dr Noor Hisham.

“Kini, kami sedang mempertimbangkan pesakit tahap tiga yang stabil dan tidak berisiko untuk mendapatkan rawatan di pusat kuarantin. Kami juga ingin mewujudkan enam pusat rawatan kuarantin dan berisiko rendah sekiranya ada keperluan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pesakit COVID-19 di Sabah yang menerima rawatan di rumah, Dr Noor Hisham mengatakan bahawa KKM sedang mempertimbangkan idea itu sekiranya terdapat kekurangan katil di hospital atau pusat kuarantin. Namun, Dr Noor Hisham menambah bahawa perkara atau cadangan itu belum menjadi polisi dalam KKM.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular