Pernahkah anda mendengar tentang budaya Mukbang? Untuk pengetahuan anda, Mukbang adalah satu rancangan melibatkan seseorang menikmati pelbagai juadah makanan dalam jumlah yang banyak. Budaya ini mula menjadi fenomena di Korea Selatan sekitar tahun 2010 dan kini telah menjadi ikutan ramai individu seluruh dunia.

Menonton video-video Mukbang boleh membuatkan kita mengalirkan air liur kerana tergoda membayangkan keenakan makanan tersebut. Adakalanya, kita mempersoalkan bagaimana seseorang boleh menghabiskan makanan sebanyak itu dan langsung tidak kelihatan mengah walau seketika pun. Persoalan paling penting terutamanya bagi kaum perempuan adalah, tak cepat gemuk ke kalau makan sebanyak itu?

Youtube

Baru-baru ini seorang YouTuber Mukbang Korea Selatan yang dikenali sebagai Yang Soobin telah berkongsi perjalanan berat badannya yang berubah daripada 131kg kepada 87kg dalam tempoh 500 hari sahaja! Yang dikatakan meraih populariti di YouTube pada tahun 2017 dengan video mukbangnya. Bagaimanapun, tabiat makan secara berlebihan ini telah mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dirinya.

Pada Mei tahun lalu, Yang dikatakan memiliki berat badan mencecah 131kg dengan 53.5% lemak badan. Khuatir dengan tahap kesihatan dirinya, Yang nekad mengambil keputusan untuk melakukan transformasi menyeluruh. Sebelum ini, Yang pernah mengamalkan pelbagai jenis diet namun semuanya tidak menampakkan kesan yang diinginkan. Justeru, Yang telah mengupah seorang jurulatih profesional bagi memastikan dirinya kekal komited dalam melakukan perubahan ini.

Facebook | Yang Soobin

“Saya tahu mengurangkan berat badan adalah sebahagian besar daripada diet pemakanan kita. Tetapi, mengutamakan kesihatan adalah bersamaan dengan kehilangan berat. Bukan kerana anda tiada kudrat tetapi anda inginkan keputusan yang cepat. Jadi, jangan amalkan senaman atau pemakanan yang sukar tetapi ubahlah cara anda berfikir”.

Memetik kenyataan Yang di Facebook, “Ubah sedikit demi sedikit dan kuatkan diri anda untuk meneruskan tabiat sihat ini selama-lamanya. Ia akan membantu anda untuk mengamalkan diet pemakanan yang sihat”.

Selepas satu tahun setengah mengamalkan gaya hidup yang sihat, Yang telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 44kg! Meskipun Yang kini menjalani kehidupan yang lebih sihat, dia masih meneruskan kerjayanya sebagai seorang YouTuber mukbang yang berjaya. Namun begitu, setiap kali selepas dia menikmati makanan yang banyak, dia pasti akan melakukan sesi senaman bagi membakar segala lemak.

Lebih penting, tahap kesihatan Yang bukan sahaja jauh lebih baik berbanding dahulu, tetapi dia juga kini tampil lebih yakin dengan dirinya sendiri.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular