SABAH – Krisis penularan wabak COVID-19 di Sabah sangat membimbangkan dan mencatatkan angka pesakit positif yang tinggi. Peningkatan kes ini telah menyebabkan segelintir pesakit terpaksa menunggu sehingga dua hari sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mendapatkan rawatan selanjutnya.

Menurut laporan Malay Mail, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah iaitu Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan bahawa 99.5% kemudahan katil hospital di seluruh negeri itu kini telah dipenuhi. Situasi ini menyebabkan kerajaan dan juga pihak hospital terpaksa mengambil keputusan untuk menentukan pesakit mana yang akan menerima kemudahan perubatan manakala pesakit yang menunjukkan gejala ‘peringkat awal’ dikehendaki untuk menjalani kuarantin sendiri di rumah.

“Jika pesakit mengalami gejala peringkat awal, adalah dinasihatkan untuk kekal berada di rumah dan mendapatkan rawatan di rumah. Keutamaan akan diberikan kepada pesakit yang berisiko tinggi dan akan menjangkiti individu lain sekiranya tidak dimasukkan ke wad”.

The Borneo Post melaporkan terdapat 5,651 buah katil hospital dan kini hanya terdapat 30 kekosongan sahaja lagi untuk menempatkan para pesakit yang dijangkiti COVID-19. Pada masa yang sama, terdapat lebih daripada 100 pesakit yang kini dimasukkan di dalam senarai menunggu di mana mereka akan distabilkan dan ditempatkan di jabatan kecemasan buat sementara waktu.

Sehingga 25 Oktober, Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi seluruh negara dengan 533 kes positif harian diikuti dengan Pulau Pinang sebanyak 97 kes dan Selangor dengan 88 kes. Secara keseluruhannya, sebanyak 823 kes baharu dicatatkan pada 25 Oktober membabitkan 100% warga tempatan.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular