Seorang kakitangan yang bertugas sebagai staf operasi MRT Laluan Kajang telah disahkan positif Covid-19 dan kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Menurut kiriman daripada Rapid KL di laman rasmi Facebooknya, kakitangan berkenaan yang bertugas sebagai pengendali tren dilaporkan bertugas buat kali terakhir pada 21 Oktober lalu.

Orang ramai bagaimanapun tidak perlu khuatir kerana Rapid Rail, selaku operator untuk MRT Laluan Kajang, telah selesai melaksanakan kerja-kerja disinfektasi dan pembersihan tempat kerja kakitangan berkenaan pada malam 24 Oktober mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Rapid KL/Facebook

“Tren-tren pula sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap malam selepas operasi pada hari berkenaan,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Rapid Rail.

Kenyataan yang sama turut memaklumkan bahawa semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan telah diminta untuk menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Rapid KL/Facebook

Sehubungan pengumuman ini, orang ramai juga dimaklumkan bahawa perkhidmatan MRT Laluan Kajang dan semua perkhidmatan pengangkutan awam lain kendalian Prasarana iaitu LRT, monorel, Bas Rapid Transit dan bas henti-henti adalah selamat untuk digunakan.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan COVID-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM.

Rapid KL/Facebook

“Semua agensi-agensi berwajib yang berkenaan termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dimaklumkan tentang langkah-langkah yang telah diambil,” memetik kenyataan yang dikeluarkan.

Semua pengguna diingatkan untuk kekal mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka dengan kemas untuk sepanjang masa, sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum menggunakan perkhidmatan awam.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular