Tidak dapat dinafikan, di mana-mana negeri pun di Malaysia, kita sering dipertontonkan dengan sikap membuang sampah di merata-rata tempat oleh rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab.

Malangnya, sikap ini lama kelamaan seolah-olah telah menjadi satu tabiat buruk yang sukar untuk dibendung lagi.

Utusan

Tetapi, untuk Umat Usman, 42 tahun, atau lebih mesra disapa sebagai Pak Long, dia menjadikan aktiviti mengutip sampah di jalanan sebagai salah satu rutin hariannya dan pada hujung bulan, Pak Long akan menjual sampah-sampah yang boleh dikitar semula.

Menurut perkongsian Pak Long dalam temubual dengan Bernama, Pak Long akan memulakan rutin hariannya itu selepas selesai solat subuh dan dia biasanya memulakan rutin itu di sepanjang pantai Kuala Perlis, yang memakan jarak kira-kira 10km.

Perlis Nature and Wildlife/Facebook

“Saya tidak peduli sekiranya orang merasakan saya seorang yang pelik tetapi saya mempunyai sebab tersendiri untuk mengutip sampah. Sampah-sampah ini nampak seperti tidak berharga tetapi anda boleh mendapat sedikit wang dengan menjual botol lama, tin dan sampah-sampah lain,” katanya.

Menurut Pak Long, botol plastik dan tin seberat 116kg pada setiap bulan boleh memberi pulangan kepadanya sebanyak RM203. Walaupun nilai wang ringgit yang diperolehi diakui adalah sedikit berbanding kerja yang perlu dilakukan sepanjang bulan, Pak Long bagaimanapun merasakan bahawa rutin yang dilakukan ini dapat memberi kepuasan kepada dirinya kerana dia dapat menyelamatkan alam sekitar.

Perlis Nature and Wildlife/Facebook

Meskipun mengidap penyakit kanser tulang, namun kegigihan Pak Long untuk memastikan kebersihan alam sekitar sejak setahun yang lalu telah menarik perhatian Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Azman Shah Ismail yang memuji tindakan murni Pak Long dan menasihatkan orang ramai untuk turut sama melakukan inisiatif tersendiri bagi menyelamatkan alam sekitar.

Dalam pada itu, Pak Long turut mengingatkan orang ramai untuk tidak membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya terutamanya di kawasan pantai kerana sampah-sampah ini berpotensi untuk hanyut ke dalam laut dan seterusnya mengganggu ekosistem hidupan laut.

Perlis Nature and Wildlife/Facebook

Malah, sampah-sampah yang dibuang juga boleh terperangkap dalam jaring para nelayan yang mencari rezeki.

“Beberapa nelayan di sini memberitahu bahawa mereka mendapat lebih banyak sampah berbanding ikan di dalam jaring mereka,” ujar Pak Long.

“Meskipun saya mengutip botol di kawasan pantai ini sejak lebih setahun lalu, namun botol-botol ini tidak pernah berkurangan dan sentiasa ada. Ini menunjukkan kesedaran orang ramai mengenai keperluan menjaga kebersihan alam sekitar masih berkurangan,” tambah Pak Long lagi.

Perlis Nature and Wildlife/Facebook

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sama-sama berganding bahu bagi menjaga alam sekitar dengan sebaiknya agar segala ekosistem di negara ini kekal terpelihara dan manusia dapat hidup dengan aman dari generasi ke generasi.

Dengan hanya tindakan kecil semudah membuang sampah di tempat yang sepatutnya, kita telah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar kita.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular