KOTA KINABALU – Para peniaga tidak bersedia mengambil risiko untuk membuka premis perniagaan bagi mengelak jangkitan COVID-19 selepas kerajaan pusat mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, tetapi membenarkan aktiviti ekonomi dan industri beroperasi menurut SOP.

Ekoran penularan pandemik COVID-19 terus meningkat mendadak di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Sabah berakhir, PKPB di Sabah dilaksanakan bermula 13 sehingga 26 Oktober 2020, dengan beberapa sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenar beroperasi seperti biasa menurut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah/Facebook

Walaupun Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun mengumumkan kerajaan negeri akan membenarkan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa di sepanjang pelaksanaan PKPB, kebanyakan peniaga terus berhati-hati dengan bersikap tunggu dan lihat, tidak seperti yang diharapkan untuk meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa.

Tinjauan Sin Chew Daily mendapati, sebahagian besar premis perniagaan di Kota Kinabalu seperti di Jalan Gaya dan Jalan Damai serta lain-lain kawasan tumpuan perniagaan masih ditutup dengan hanya beberapa orang yang berkunjung ke restoran untuk membungkus makanan.

Ekoran kadar jangkitan di Kota Kinabalu adalah yang tertinggi di negeri ini dengan berita mengenai kes yang disahkan bermula di tempat yang sesak dengan kunjungan orang ramai seperti di restoran, pusat membeli-belah, bangunan kediaman bertingkat, bank, kawasan perindustrian dan komersial serta sekolah dilaporkan terus meningkat.

Seorang ahli perniagaan memberitahu, “Kebanyakan perniagaan tidak dapat meneruskan operasi kerana kalangan pekerja mereka dijangkiti virus dan diperintahkan untuk menjalani kuarantin.”

Paparan Skrin/Sin Chew Daily

“Oleh kerana pandemik ini semakin serius, kebanyakan peniaga dan pemilik industri mengambil sikap tunggu dan lihat untuk meneruskan perniagaan sepanjang PKPB, kerana ketika semua orang mengurangkan aktiviti mereka, perniagaan turut merosot walaupun ia dibuka, disamping mampu meningkatkan risiko pekerja dijangkiti virus,” katanya.

“Sekiranya penularan pandemik menjadi semakin serius, dijangka lebih banyak perniagaan akan memilih untuk terus menutup premis,” tambahnya lagi.

Manakala seorang pemilik restoran berkata dia bimbang dengan berita terdapat sejumlah pekerja restoran yang dijangkiti COVID-19.

“Pekerja dijangkiti dan ia berada di luar kawalan kita. Kita tidak berupaya untuk sentiasa memantau kehidupan peribadi pekerja, dan kita juga tidak tahu dengan siapa pekerja ini telah berhubung setelah selesai bekerja,” katanya.

Paparan Skrin/Sin Chew Daily

Tambahnya, penularan kes COVID-19 yang semakin meningkat di Sabah telah menjejaskan industri katering, ekoran ramai orang telah mengurangkan perjalanan mereka, dengan jumlah orang yang menempah dan membungkus makanan juga turut berkurangan.

“Kita telah beroperasi dalam keadaan suram sepanjang PKP, tetapi kemudian hampir pulih, dan oleh kerana pandemik kembali meningkat, kita terpaksa kembali semula ke situasi sulit dengan perlu mengikuti peraturan seperti ketika ia bermula,”katanya.

Menurutnya, para peniaga telah bersiap sedia untuk menghadapi yang terburuk, dan setelah wabak tidak dapat dikawal ekoran ramai tidak mampu mengamalkan SOP, pihak mereka akan segera mengambil tindakan untuk menutup perniagaan buat sementara.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular