JOHOR BAHRU – Pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan maut dekat Plaza Pelangi pada 10 Oktober lalu, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.

Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Nur Fatin Nazrah Suhaimi, 23 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi jika dia gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.

Twitter

Selain itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM3,300 atau 13 bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda di atas tiga kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen memandu, memandu kenderaan yang tiada cukai jalan serta insurans kenderaan, selepas tertuduh turut mengaku bersalah di atas ketiga-tiga kesalahan berkenaan.

Tertuduh, seorang pekerja kilang, didakwa menyebabkan kematian anggota tentera TLDM, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31 tahun, di persimpangan lampu isyarat Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada jam 8.24 pagi, 10 Oktober 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987, Seksyen 15(1) dan Seksyen 90(1) akta yang sama, untuk pertuduhan kedua hingga ketiga, yang masing-masing memperuntukkan denda maksimum RM2,000, manakala Seksyen 90(1) memperuntukkan denda maksimum RM1,000.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan kelima iaitu memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam tubuh badannya pada hari yang sama.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Majistret R.Salini memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh bulan secara beransingan daripada hukuman terdahulu selain menjalani Perintah Pengawasan selama dua tahun.

Terdahulu dalam rayuan pertuduhan utama, Nur Fatin menzahirkan permohonan maaf dan kekesalannya kepada keluarga mangsa atas perbuatan yang dilakukannya.

Tertuduh turut memohon agar mahkamah mengenakan hukuman dengan mengambil kira tanggungjawabnya terhadap keluarga yang menyara kedua ibu bapa dan adik beradik.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Tengku Abdul Rahman dan Noridayu Md Kassim meminta mahkamah memberi hukuman setimpal kerana berpendapat kesalahan tersebut tidak boleh dipandang remeh.

Dalam sesi mahkamah yang sama, tunang wanita itu, Nuraiman Fathi Mohd Zukki, 23 tahun yang juga pemilik kereta Perodua Myvi berkenaan, dijatuhi hukuman denda RM3,300 selepas mengaku bersalah di atas tiga pertuduhan.

Dia didakwa membenarkan tunangnya memandu kereta tanpa lesen, cukai kenderaan tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 13 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Majistret turut memerintahkan lesen memandu Nuraiman digantung selama setahun bermula 15 Oktober 2020.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular