Dalam Islam, kebersihan itu termasuk dalam amal ibadat dan ia tidak kira sama ada kita hidup dalam keadaan serba kekurangan atau mewah sekali pun. Menjaga kebersihan itu menjadi tuntutan agama, tidak kira kita berada di mana sahaja kerana ia melambangkan keperibadian diri sendiri.

Seorang guru bernama Mohd Fadli Salleh menerusi laman Facebook menceritakan bagaimana beliau berasa terkejut melihat rumah yang dihuni tiga beranak pernah dibantu yang dilawatinya. Rumah tersebut merupakan rumah asnaf yang diberi kepada keluarga ini yang sebelumnya tinggal di dalam bilik stor sempit yang berada di lokasi tempat kerja bapa.

Menurut guru ini keluarga asnaf berkenaan terdiri daripada seorang bapa yang tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 12 tahun dan anak lelaki berusia 7 tahun.

“Saya sengaja terjah mengejut ke satu rumah asnaf. Sebaik masuk rumah, saya minta izin hendak masuk tengok bilik dan tandas. Allahu, seronok betul tengok rumah mereka,” tulisnya.

Tambah catatan itu lagi, “Kecil, tetapi kemas ya amat. Sebutir pasir pun tidak melekat dekat kaki bila masuk ke rumah. Semuanya tersusun elok sahaja.”

Menurut Mohd Fadli, beliau menemui keluarga berkenaan pada awal tahun ini apabila mendapat tahu mereka tidak mampu membayar sewa rumah biasa yang sempurna menyebabkan si bapa menjadikan stor tempat kerjanya sebagai tempat tinggal sementara mereka.

Melalui bantuan zakat, pihak mereka telah berjaya mendapatkan rumah sewa berdekatan sekolah anak-anak dengan membayarkan deposit dan menyumbangkan keperluan asas yang lain bagi membolehkan keluarga asnaf yang dibantu ini hidup lebih selesa dan sempurna.

Tambahan, ia tidak lagi menganggu pembelajaran kedua-dua anak asnaf ini kerana mereka boleh bersekolah dengan sempurna setiap hari, yang mana semua guru sudah sedia maklum bahawa anak sulung keluarga berkenaan merupakan seorang pelajar cemerlang di sekolah.

“Sesekali bawa mereka keluar makan, belikan barangan dapur dan bantu apa yang patut. Sudah lama tidak jumpa mereka. Kali terakhir sebelum PKP. Kali ini ada peluang sekali lagi, saya bawa mereka keluar makan, belikan barangan dapur, almari baju dan sebagainya,” tulis Mohd Fadli.

“Saya hantar semua barangan itu ke rumah mereka dan terus buat spot check mengejut. Alhamdulillah mereka sangat pembersih orangnya. Tandas pun bersih dan berkilat. Suka betul lihat keluarga pembersih ni,” puji Mohd Fadli.

Guru ini amat bersyukur melihat keluarga tersebut begitu menghargai bantuan orang lain dan sikap mereka yang rajin serta mementingkan kebersihan.

Mereka juga berusaha membantu diri sendiri dengan tidak mensia-siakan bantuan yang diberi, walaupun hidup dalam serba kekurangan.

“Mereka mungkin susah, namun mereka menjaga kebersihan diri dan rumah. Semoga keluarga ini dapat keluar dari kepompong kemiskinan dan turut mampu membantu orang lain yang memerlukan juga,” kata Mohd Fadli Salleh.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular