Dalam kemalangan ngeri yang berlaku pada 10 Oktober, seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 31 tahun meninggal dunia di tempat kejadian setelah Perodua Myvi putih tiba-tiba merempuh kereta Honda Accord milik mangsa yang sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat.

Insiden kemalangan maut yang berlaku di Johor Bahru itu menunjukkan pemandu Myvi dilihat bergerak laju menuruni bukit tanpa membrek dan merempuh kereta milik mangsa yang sedang menunggu bersama kereta lain di satu persimpangan.

Rakaman video dashcam sebuah kereta yang berada di lokasi kemalangan yang tular menunjukkan pemandu Myvi tersebut merempuh dua buah kereta iaitu Honda Accord dan Proton Iswara, yang sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru -Kota Tinggi.

Myvi berwarna putih tersebut telah dipandu laju oleh seorang wanita berusia 23 tahun yang kemudian hilang kawalan melanggar tembok pembahagi jalan dan terbalik, dan dia hanya mengalami kecederaan ringan.

Akibat pertembungan dan hentaman yang kuat telah mengakibatkan Myvi tersebut terbalik dan melayang ke udara sehingga turut membalikkan kereta Honda Accord mangsa dan mendarat di atas Proton Iswara yang berada bersebelahan.

Honda Accord tersebut telah dipandu oleh Mohd Rizal Buseri, yang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala. Allahyarham merupakan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil.

Sementara Proton Iswara tersebut dipandu oleh seorang lelaki berusia 78 tahun yang mengalami kecederaan ringan.

Sepasukan sembilan anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di tempat duduk pemandu kereta Honda Accord yang remuk dan rosak teruk.

Peralatan jentera khas terpaksa digunakan untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit, menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Pegawai Kanan Bomba II Nordatul Badrol Abdul Rahman.

“Mangsa yang berusia 31 tahun terperangkap di bahagian pemandu dan kami menggunakan jentera khas untuk mengeluarkannya. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” kata Nordatul Badrol.

Sementara itu, hasil saringan awal air kencing mendapati pemandu Myvi putih berkenaan didapati positif dadah dan kini telah ditahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain, suspek wanita berusia 23 tahun itu didapati positif dadah dan telah ditahan untuk membantu siasatan.

Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan yang mengakibatkan kematian, dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Harian Metro melaporkan, siasatan awal turut menunjukkan bahawa pemandu Myvi tersebut tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan kenderaan yang telah tamat tempoh.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengatakan bahawa suspek wanita tersebut telah melakukan beberapa kesalahan selepas didapati memandu tanpa lesen memandu dan cukai jalan kenderaan yang telah tamat tempoh dengan merujuk kepada beberapa peruntukan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Mohd Rizal telah selamat dikebumikan pada petang 10 Oktober di Tanah Perkuburan Islam di Bandar Tenggara.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular