Andai sahaja semua orang mengamalkan sikap bertolak ansur dan toleransi pastinya dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami terutama buat mereka yang kurang bernasib baik.

Mereka pastinya berharap agar orang-orang di sekeliling mereka faham dengan keadaan mereka yang serba kekurangan. Percaya atau tidak, mereka juga berusaha untuk menjadi terbaik setiap hari.

Menyedari hakikat itu, seorang lelaki telah memutuskan untuk bertolak-ansur dan tidak memarahi penghantar makanan yang telah menumpahkan sup yang dipesan. Apa yang berlaku ialah, makan malam yang ditempah telah tumpah apabila mangkuk sup tersebut telah pecah semasa dihantar.

Kalau orang lain mungkin mereka akan marah atau mungkin tidak mahu membayar harga makanan tersebut namun lelaki ini tetap membayar makanan yang telah tumpah itu. Dia malah telah memuji penghantar makanan tersebut dengan mengatakan, “Anda adalah orang yang paling hebat di Taiwan hari ini!”

Gambar Hiasan/Unsplash

Menurut laporan “ETtoday News Cloud”, pelanggan tersebut telah memuat naik sebuah hantaran di laman “Baoshu Commune No. 2 Hall” di Facebook untuk menceritakan tentang kejadian tersebut.

Dia sebenarnya telah memesan mi sup untuk makan malam melalui aplikasi penghantaran makanan. Apabila pesanannya tiba dia mendapati supnya telah tumpah kerana mangkuk telah pecah.

Dia kemudian terus mengeluarkan duit untuk diberikan kepada penghantar makanan tersebut namun ditolak. Penghantar makanan tersebut menggunakan bahasa isyarat yang mengatakan bahawa dia tidak perlu untuk membayar makanan itu kerana ianya telah tumpah.

Buzzhand

Pada mulanya lelaki itu tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh penghantar makanan tersebut kerana dia menggunakan bahasa isyarat. Penghantar makanan itu juga menunjukkan telinganya untuk memberitahu bahawa dia juga tidak boleh mendengar. Apa yang berlaku seterusnya ialah penghantar makanan itu telah menaip sesuatu di telefon bimbitnya yang berbunyi, “Saya minta maaf, saya akan bayar,”

Melihat kesungguhan penghantar makanan itu telah buatkan hati pelanggan itu tersentuh. Dia kemudian terus membayar harga makanan tersebut. Penghantar makanan tersebut kemudian menggerakkan jarinya sebagai isyarat “terima kasih”.

Buzzhand

Pelanggan itu memberitahu di Facebook bahawa walaupun mangkuk makanan yang dipesan telah bocor tetapi masih ada mi yang masih boleh dimakan.

Apa yang dilakukan kepada penghantar makanan itu ialah sebagai tanda sokongan dan semangat kepadanya kerana dia tahu bukan mudah untuk orang yang pekak dan bisu untuk mendapatkan pekerjaan. Apa yang paling penting, penghantar makanan tersebut berani mengakui kesilapannya sejak awal dan dia juga telah meminta maaf.

Ramai netizen yang membaca mengenai kisah itu memuji dan mengucapkan terima kasih kerana bertolak-ansur dengan penghantar makanan tersebut. Ada antara mereka yang memberitahu mereka juga pernah berhadapan dengan orang kurang upaya seperti ini dan mereka tetap dilayan dengan baik.

Bukan susah untuk melakukan kebaikan, setiap hari adalah peluang untuk kita melakukan walau sekecil-kecil kebaikan!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI

Video Popular