Dua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya di Klang disahkan positif COVID-19. Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman telah mengesahkan dua kes positif baharu tersebut.

Beliau ketika dihubungi berkata bahawa pihaknya sudah memaklumkan dua kes positif berkenaan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Izmi Ismail turut mengesahkan bahawa kedua-dua pelajar terbabit telah dikuarantin dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Facebook/Gambar Hiasan

Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga telah melawat sekolah berkenaan pada 28 September 2020.

Menurut The Star, beberapa pesanan WhatsApp didapati tular mengenai dua kes aktif di sekolah berkenaan. Salah satu mesej tersebut mengarahkan para guru untuk datang lebih awal bagi menjalankan proses sanitasi dan nyah kuman bilik darjah.

Mesej lain mengatakan tiada perintah dari Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengosong atau menutup sekolah, kecuali para pelajar tidak dibenarkan ke bilik-bilik khas seperti makmal komputer, makmal sains, bengkel dan lain-lain bagi tujuan meminimumkan pergerakan.

Facebook/Gambar Hiasan

Sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa berikutan proses sanitasi telah dilakukan. Namun, ibu bapa yang bimbang akan keselamatan anak masing-masing tidak perlu menghantar mereka ke sekolah.

Dr Sha’ari Ngadiman dalam satu kenyataan berkata kedua-dua pelajar berkenaan adalah adik-beradik yang disyaki mendapat jangkitan wabak itu daripada abang mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini.

Orang ramai dinasihatkan untuk kekal tenang dengan terus mengamalkan SOP dan penjagaan kebersihan yang disyorkan iaitu memakai pelitup muka di tempat awam, mengelakkan kawasan yang sesak, serta kerap mencuci tangan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular