Tujuh tahun lalu, seorang lelaki dari Hanoi, Vietnam bernama Ho Van Thanh yang berusia 82 tahun, dan anak lelakinya, Ho Van Lang yang kini berusia 51 tahun mengejutkan dunia apabila ditemui masih hidup dengan baik di dalam hutan, selepas mereka dipercayai terkorban dalam Perang Vietnam pada tahun 1973.

Kejadian itu telah menggemparkan penduduk tempatan selepas kedua beranak ini dilaporkan telah meninggal dunia akibat letupan bom yang memusnahkan rumah mereka.

YouTube/Paparan Skrin

Ho Van Thanh dan Ho Van Lang dipercayai hilang semasa meletusnya Perang Vietnam dengan Amerika Syarikat di negara itu, yang telah tamat pada 30 April 1975, iaitu lebih 45 tahun lalu.

Kedua-dua beranak ini berjaya melarikan diri ke dalam hutan dan tinggal dalam keadaan selamat di sana dengan menjalani kehidupan menanam sayur-sayuran, mencari hasil hutan dan memburu haiwan sebagai sumber makanan utama.

YouTube/Paparan Skrin

“Ketika mereka ditemui, Thanh didapati mampu berkomunikasi dalam bahasa etnik minoriti Cor, manakala Lang seperti bayi yang hanya tahu bercakap beberapa patah perkataan,” jelas seorang pegawai di Kampung Tra Nga, daerah Tra Bong.

Mereka juga tidak pernah berkomunikasi dengan sesiapa pun sepanjang 40 tahun berada di hutan, walaupun mengakui pernah melihat beberapa orang, dengan Thanh percaya Perang Vietnam masih belum tamat, lalu bertindak menyembunyikan diri.

YouTube/Paparan Skrin

Thanh yang juga bekas tentera Vietnam Utara (Vietcong) ketika Perang Vietnam di lihat pada kali terakhir sedang berlari menuju ke dalam hutan bersama anaknya Lang, yang berusia sekitar 2 tahun ketika itu. 

Thanh bertindak nekad melarikan diri dan menyelamatkan anak lelakinya setelah rumahnya telah dibom oleh tentera Amerika Syarikat yang mengorbankan isteri dan dua anak lelakinya pada tahun 1973. Seorang lagi anak lelakinya, Ho Van Tri ditinggalkan bersama saudara mereka di kampung itu.

YouTube/Paparan Skrin

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan pasangan anak beranak ini ditemui pada tahun 2013, selepas penduduk kampung berhampiran memasuki hutan dan membuat perjalanan sejauh 40 kilometer untuk mencari kayu.

Mereka telah menemui dua buah rumah pokok milik Thanh dan Lang jauh ke dalam hutan tebal. Penemuan yang kemudian telah dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan.

Ketika dijumpai, anak beranak itu kelihatan tidak bermaya dengan memakai kain cawat dan baju yang diperbuat daripada kulit pokok. 

YouTube/Paparan Skrin

Selepas diselamatkan, Thanh yang telah uzur menjalani rawatan kesihatan di hospital berdekatan manakala Lang dijaga saudara kandungnya, Ho Van Tri di kampung halaman.

Selepas peristiwa menggemparkan itu, Ketua Daerah Hanoi, Hoang Anh Ngoc, telah meminta pegawainya untuk mengawasi kedua beranak ini bagi memastikan mereka tidak kembali semula ke dalam hutan ekoran sudah sebati menjalani kehidupan itu selama lebih 40 tahun.

YouTube/Paparan Skrin

Penemuan Thanh dan Lang mengejutkan pelbagai pihak kerana ramai yang menyangka mereka telah lama meninggal dunia semasa Perang Vietnam.

Namun, ramai juga tidak mengetahui selepas Thanh dan Lang kembali ke dunia moden bertamadun, Tri mendedahkan pernah melawat bapa dan abangnya di dalam hutan sejak dia berusia 12 tahun.

YouTube/Paparan Skrin

Pada ketika itu, Thanh sebenarnya terpaksa dikeluarkan dari hutan ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot dan penduduk kampung menyelamatkan mereka dengan bantuan Tri dan bapa saudaranya.

Thanh meninggal dunia pada tahun 2017 dan Lang yang mendapat nama jolokan ‘Tarzan Vietnam’ selepas diselamatkan, meneruskan kehidupannya yang lebih selesa berada di dalam hutan, sambil berulang alik ke kampung halamannya dengan bekerja di sawah padi dan menjual hasil hutan.

YouTube/Paparan Skrin

Lang mampu bergaul bersama masyarakat kampung dan dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan bertamadun walaupun sebelum ini bapanya hanya membesarkannya dengan cara kehidupan survival di dalam hutan.

YouTube/Paparan Skrin

Selepas kematian bapanya, Lang berkata bunyi hutan sering memanggilnya dengan lebih kerap, lalu dia menghabiskan banyak masa di kawasan sawah padi berhampiran hutan yang berada jauh dari rumahnya di kampung.

Bulan Jun lalu, Ho Van Lang memutuskan untuk kembali meneruskan kehidupannya di dalam hutan selepas menyedari kehidupan moden di kampung tidak berapa sesuai dengan jiwanya.

YouTube/Paparan Skrin

Menurut laporan Ananova, kini Lang hanya akan turun dari hutan dan menghabiskan masanya selama dua hari sahaja dalam sebulan di kampung, ketika dia mahu menjual hasil hutan yang dikumpulnya, dan selebihnya Tarzan Vietnam ini terus tinggal dengan selesa di dalam hutan belantara.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular