Memelihara haiwan boleh dianggap sebagai satu tindakan murni lebih-lebih lagi jika haiwan tersebut diambil dari jalanan dan dibawa ke rumah untuk memberinya peluang merasai kehidupan yang jauh lebih baik dan terjamin.

Kita sering melihat masyarakat memuat naik gambar haiwan ke media sosial atas sebab-sebab tertentu untuk menyerahkan haiwan tersebut ke tangan individu yang lebih layak untuk menjaganya. Namun, terdapat segelintir individu yang mengambil kesempatan ini dengan berpura-pura menyatakan minat untuk memelihara haiwan berkenaan tetapi hakikatnya, ia dilakukan atas sebab yang salah!

Ani Red Wolf Hassan merupakan pemilik bagi akaun Facebook Cat Free For Adoption (Malaysia) baru-baru ini telah berusaha membantu seorang individu yang ingin mendapatkan semula kucing peliharaannya setelah mengetahui pemilik baharu kucingnya telah mengambil kucing-kucing ini untuk mendapatkan keuntungan!

Menurut perkongsian tersebut, dikatakan pemilik asal dua ekor kucing bernama Tom dan Jerry ini telah memuat naik satu entri di Facebook mengenai kisah kedua-dua kucingnya yang telah diberikan kepada seseorang. Pada asalnya, individu tersebut menyatakan hasratnya untuk memelihara Tom dan Jerry kerana dia amat menyayangi kucing. Namun setelah dua minggu Tom dan Jerry berada di tangan individu tersebut, pemilik asal ini mendapati kedua-duanya kucingnya berada dalam iklan jualan di sebuah Facebook lain!

Berang dengan penemuan ini, pemilik asal telah bersemuka dengan individu berkenaan untuk mendapatkan pengesahan. Katanya, kedua-dua kucing itu terpaksa dijual berasingan kerana sering bergaduh dan mendatangkan kecederaan antara satu sama lain.

Menurut pemilik asal, dia bercadang untuk mendapatkan kedua-dua kucing itu semula kerana tidak sanggup melihat Tom dan Jerry dijual dan dipisahkan. Lebih mengejutkan lagi, pemilik baru itu turut meminta wang sebanyak RM400 bagi setiap kucing.

“Kami tidak pernah melihat kedua-duanya bergaduh sepanjang sembilan bulan kami memelihara kucing ini”.

Ani turut bersama-sama pemilik asal Tom dan Jerry untuk mendapatkan semula kucing ini dengan membuat laporan ke pihak berkuasa namun usaha mereka tidak berjaya mendatangkan hasil.

Kata Ani, “Maafkan saya, saya telah cuba sehabis baik untuk menyelamatkan Tom dan Jerry daripada penjenayah yang menjual kucing ini. Namun, pihak polis memaklumkan bahawa kes ini tidak boleh diteruskan memandangkan pemilik asal telah menyerahkan kedua-dua kucing ini secara rela hati dan bukannya paksaan”.

“Tidak mengapa, kami telah membuat draf borang untuk semua penyerah kucing. Jika ada bukti hitam putih, baru kita boleh ambil tindakan ke atas individu yang cuba mengaut keuntungan dengan menjual kucing yang mereka perolehi secara percuma”.

Pada masa yang sama, pemilik asal Tom dan Jerry turut meluahkan rasa kesalnya dan berharap agar pemilik baharu kucing-kucing ini untuk menghubunginya supaya dia boleh mengetahui sedikit sebanyak perkembangan Tom dan Jerry. Semoga Tom dan Jerry akan mendapat kasih sayang dan kehidupan yang baik daripada tuan baharu masing-masing…

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP

Video Popular