PUTRAJAYA – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna di Sabah bermula 12.01 tengah malam 29 September sehingga 12 Oktober 2020. 

Beliau berkata, setelah mengambil kira jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang semakin meningkat iaitu sebanyak 1,195 kes di empat daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hingga 27 September, maka kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan PKPDB secara pentadbiran.

Arahan PKPDB yang berkuat kuasa selama tempoh 14 hari di 4 daerah berkenaan akan membabitkan seramai 962,661 penduduk.

Berikutan itu, semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan perlu, manakala bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan memasuki 4 daerah berkenaan sepanjang perintah dilaksanakan.

“Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah berkenaan serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan dalam tempoh sepanjang 14 hari,” kata Datuk Seri Ismail Sabri. 

Bagi memastikan pematuhan perintah PKPDB, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terbabit.

Sabah mencatatkan peningkatan kes positif COVID-19 yang semakin membimbangkan. Pada 27 September, KKM melaporkan 150 kes positif baharu dengan Sabah menyumbang 124 kes. Di samping, 2 kluster baharu telah dikenal pasti di Sabah iaitu Buang Sayang, Sipitang dan Kampung Sakong, Semporna.

KKM melaporkan 15 warganegara Malaysia telah disahkan positif jangkitan COVID-19 setelah mengunjungi kawasan berisiko tinggi di Sabah dan pulang ke negeri masing-masing, termasuk di Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Melaka.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular