Semua sedia maklum, cuaca panas dan lembap di Malaysia sepanjang tahun adalah perkara biasa. Pada satu ketika kita mungkin akan mengalami hujan lebat berterusan dan pada hari berikutnya, panas terik matahari yang menghangatkan terus mengeringkan keringat.

Dan semua sudah terbiasa dengan cuaca yang sebegini, lebih-lebih lagi ketika berada di luar semasa cuaca panas terik tanpa membawa sebarang pelindung seperti payung, dan kita tidak pernah mengeluh akannya.

Seperti nenek sudah berusia ini sedang beratur panjang di hadapan bank untuk mengambil pencennya dan dia sebenarnya tidak mengeluh ketika terpaksa berpanas, tetapi gadis yang sedang beratur di belakangnya tidak berpendapat seperti itu.

Privitha Maimaran/Facebook

Gadis ini kemudian dengan rasa prihatinnya telah mengambil fail yang berada di tangan, lalu melindungi nenek ini daripada terkena sinaran terik matahari.

Pada 23 September, seorang wanita dengan nama Privitha Maimaran telah berkongsi kisah yang menyentuh hati ini tentang bagaimana seorang gadis Melayu telah melindungi neneknya daripada terkena sinar terik matahari.

Posting di Facebook itu telah mendapat perhatian netizen dengan lebih 27,000 perkongsian yang terus tular.

Privitha memulakan posting dengan menzahirkan ucapan terima kasih bagi pihak keluarganya kepada gadis tidak dikenali ini yang telah membantu menjaga dan melindungi neneknya seperti ahli keluarga sendiri.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada wanita Melayu yang menggunakan fail di tangannya untuk melindungi nenek saya daripada panas terik matahari ketika mereka menunggu di luar bank untuk jangka masa yang panjang,” tulis Privitha.

Oleh kerana semua orang masih perlu mengikuti SOP ketika PKP masih berkuatkuasa, barisan bank mungkin cukup panjang pada waktu-waktu tertentu seperti dalam gambar yang dimuat naik oleh Privitha ini. 

Difahamkan kejadian ini berlaku di Maybank cawangan Menglembu di Ipoh, ketika neneknya sedang menunggu dalam barisan untuk mengeluarkan wang pencen.

Privitha menulis alasan mengapa dia berkongsi saat yang menyentuh hati ini adalah kerana dia ingin menyebarkan mesej positif kepada seluruh warga Malaysia yang perlu bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama.

Privitha Maimaran/Facebook

“Sebab saya berkongsi perkara ini adalah kerana ketika kita berdepan saat sukar ini, saya mahu menekankan masih ramai orang di luar sana yang menghormati dan prihatin dengan golongan tua tanpa mengira apa pun kaum mereka,” tulis Privitha.

Semoga kita semua dapat mencontohi sikap terpuji gadis ini untuk melahirkan warga Malaysia yang bersatu padu dengan saling bantu membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama. 

Tidak rugi untuk mengamalkan sikap terbaik untuk membentuk negara terbaik yang boleh menjadi contoh teladan kepada negara lain.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular