Hanya kerana penangan seekor monyet yang kreatif, pemilik telefon pintar Muhammad Zackrydz Mohd Rodzi meraih populariti luar biasa termasuk dihubungi media antarabangsa.

Semuanya bermula apabila iPhone XS Max miliknya yang disangka hilang rupa-rupanyanya telah dilarikan haiwan tersebut pada 12 September lalu.

Pemuda ini menyedari telefon pintar yang dibelinya setahun lalu itu hilang selepas bangun daripada tidur ketika berada di rumahnya di Parit Besar, Batu Pahat, Johor.

@Zackrydz/Twitter

Zackrydz cuba menjejak telefonnya, dan didapati terdengar deringan tetapi tidak dapat mengesan lokasinya.

Dengan tekad enggan berputus asa, pada petang keesokan harinya pemuda ini bersama abangnya telah ke belakang rumah dan meneruskan pencarian selepas bapa mereka mengesyaki mungkin seekor monyet telah melarikan telefon pintar itu.

@Zackrydz/Twitter

“Ayah saya pada awalnya memberitahu bahawa dia melihat monyet di sekitar kawasan rumah, jadi saya tercetus idea bahawa mungkin monyet yang mengambil telefon saya, jadi saya memikirkannya, jika saya monyet, di mana saya akan berada?” jelas Zackrydz.

“Oleh itu, saya mendapat idea untuk memeriksa kawasan di belakang rumah, terdapat banyak pokok di sana, jadi saya meminta abang saya menelefon semasa saya sedang mencari,” katanya.

@Zackrydz/Twitter

Zackrydz hampir sampai berdekatan hutan ketika dia menjumpai iPhone itu yang berada di bawah pokok kelapa sawit.

Hasil pemeriksaan mendapati galeri foto telefonnya penuh dengan gambar monyet itu berswafoto.

@Zackrydz/Twitter

Perkara itu menjadi bahan jenaka keluarga dan sanak saudaranya sebelum dia berkongsi insiden lucu tersebut bersama rakan-rakannnya di Twitter pada malam 13 September sehingga mendapat perhatian lebih 300,000 tontonan dan 6,000 retweet.

“Niat saya cuma mahu berkongsi pengalaman jarang berlaku setiap abad, tetapi tidak sangka pula penangan kisah monyet ini hebat sekali hingga mendapat perhatian luar biasa,” katanya.

Sehinggakan Zackrydz dihubungi dan diwawancara beberapa agensi berita luar negara terkemuka termasuk BBC, Reuters, CNN, UNILAD dan pelbagai portal lain yang mahu menyimpan gambar monyet itu sebagai kenangan.

@Zackrydz/Twitter

Pemuda ini menganggap peristiwa luar biasa yang jarang-jarang sekali berlaku itu mengandungi hikmah tersendiri termasuk menyedarkan dirinya supaya lebih peka dan berwaspada pada masa hadapan.

Tonton galeri gambar swafoto hasil sentuhan monyet kreatif ini di bawah:

@Zackrydz/Twitter

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Ria

Video Popular