Jika di Jepun terdapat kisah anjing setia mencipta legenda bernama Hachiko yang menunggu tuannya yang telah meninggal dunia sehingga terdapat monumen yang diabadikan untuknya di stesen keretapi Shibuya, di Malaysia juga terdapat kisah setia mengharukan lebih kurang sama.

Tetapi kesetiaan ini membabitkan seekor kucing jantan berwarna oren bernama Nana.

Menerusi satu posting di laman Facebook, netizen Hazlynn Nozi telah berkongsi beberapa gambar memaparkan kucing peliharaan keluarganya yang tetap setia menunggu di tepi kubur arwah bapanya, meskipun sudah dua tahun arwah telah pergi ke rahmatullah.

Malaysia Setia/Facebook

Menurut Hazlynn, kucing peliharaan keluarga dan menjadi kesayangan arwah bapanya ini akan menziarahi pusara bapanya pada setiap pagi di tanah perkuburan yang berhampiran dengan rumah mereka.

“Kubur itu di belakang masjid, dan masjid itu bersebelahan rumah kami. Tiap pagi dia balik ke rumah untuk meminta makanan, kakinya basah-basah kena embun, baru balik dari kubur,” tulis Hazlynn memperkatakan betapa setia dan sayangnya kucing mereka terhadap arwah bapanya.

Bahkan, menurutnya ketika mereka mahu menziarah pusara arwah bapanya, kucing jantan itu juga akan tiba lebih awal di tanah perkuburan pada setiap kali, tanpa pernah gagal menunjukkan kesetiaannya.

Malaysia Setia/Facebook

Ternyata ramai netizen dan pencinta kucing yang terasa sebak melihat betapa setianya kucing ini terhadap arwah tuannya.

“Semoga ia terus menjadi pengajaran buat kita semua, berbuat baiklah sesama makhluk walaupun kepada seekor kucing,” tulis Hazlynn.

Malaysia Setia/Facebook

Hati kita menjadi sejuk dan tenang apabila melihat haiwan kesayangan yang setia ini tidak pernah melupakan kasih sayang yang diberikan oleh arwah tuannya, menunjukkan hikmah dan rahmat yang diperoleh oleh mereka yang sentiasa berbuat baik pada haiwan peliharaan semasa hayatnya.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular