Public Health Malaysia mengingatkan orang ramai bahawa walaupun kehadiran karbon monoksida dibebaskan oleh enjin kenderaan dalam jumlah yang kecil, ia boleh menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri hingga membawa maut.

Menerusi catatan di Facebook, Public Health Malaysia menyatakan kepercayaan umum bahawa membuka tingkap sedikit ketika tidur di dalam kereta adalah tanggapan yang kurang tepat.

Tragedi 4 sahabat di Pulau Pinang yang menghidu karbon monoksida dalam jumlah berlebihan ketika berehat dan tidur dengan membuka penghawa dingin tanpa mematikan enjin di stesen minyak telah menyebabkan 3 daripadanya meninggal dunia dan seorang sedang dirawat di ICU.

Unsplash/Gambar Hiasan

Berikutan itu, Public Health Malaysia sekali lagi menggesa orang ramai supaya berfikir terlebih dahulu atau terus mengelak untuk berehat di dalam kereta dengan enjin dan penghawa dingin yang dipasang.

Keracunan karbon monoksida tidak memerlukan kuantiti yang banyak. Kadar yang rendah sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu tidak sedarkan diri. Malah, karbon monoksida dari luar yang mengelilingi kereta juga berbahaya. Kereta anda mungkin tidak kedap udara dan bahan ini boleh meresap masuk ke dalam kereta. 

Jangan tertidur atau berehat sebentar di dalam kereta dengan enjin yang dihidupkan. Anda mungkin tidak akan bangun lagi setelah tertidur.

Pastikan sistem ekzos diperiksa dan di selenggara secara berkala. Ingat, kebocoran kecil juga boleh menyebabkan kematian.

Public Health Malaysia menyifatkan keracunan karbon monoksida sebagai pembunuh senyap dan menjelaskan bahawa karbon monoksida adalah gas yang tidak berwarna, tanpa rasa, tidak berbau, serta tidak boleh didengar, dan keracunan karbon monoksida adalah punca utama kecederaan dan kematian akibat keracunan nombor satu di seluruh dunia.

Menurut Pusat Pengendalian Penyakit Amerika Syarikat, kira-kira 50,000 pesakit di negara tersebut dimasukkan ke hospital kerana keracunan karbon monoksida setiap tahun dan 430 daripadanya meninggal dunia akibat keracunan gas ini.

Unsplash/Gambar Hiasan

Public Health Malaysia menjelaskan karbon monoksida terbentuk hasil pembakaran bahan organik tanpa bekalan oksigen yang mencukupi. Pembakaran diesel atau petrol, penggunaan gas untuk alat pemanas juga semasa memasak akan menghasilkan karbon monoksida.

Manakala pembakaran bahan bakar di dalam enjin kereta menghasilkan banyak gas sampingan yang dikeluarkan sebagai asap ekzos, mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida, hidrokarbon dan nitrogen oksida.

Ketika memandu, sistem ekzos yang baik akan membebaskan gas beracun ke persekitaran dengan selamat. Namun apabila sistem ekzos bocor, masalah akan timbul dan ia akan menjadi lebih buruk apabila kereta tidak bergerak.

Tanpa menyedarinya, gas tidak berbau dan tiada rasa ini akan memasuki saluran darah manusia melalui saluran pernafasan. Gas beracun ini akan bercampur dengan hemoglobin lalu membentuk carboxyhaemoglobin. Apabila ini berlaku, darah tidak lagi mampu membawa oksigen yang akhirnya akan menyebabkan sel dan tisu badan manusia mula gagal dan mati.

Gejala awal keracunan karbon monoksida yang paling biasa adalah sakit kepala, pening, kelemahan otot, sakit perut, muntah, sakit dada, dan kekeliruan.

Namun, sekiranya gas ini dihidu semasa anda sedang tidur, anda tidak akan menyedari sebarang perubahan dan akhirnya boleh mengakibatkan kematian.

Mengenai cara mencegah keracunan karbon monoksida, Public Health Malaysia menyarankan orang ramai agar mengelak daripada  menghidupkan enjin kenderaan dan membebaskan asap ekzos di rumah mereka, kerana gas yang dikeluarkan mengandungi karbon monoksida, yang mampu meresap ke dalam rumah dan menyebabkan keracunan terutama ia amat berbahaya kepada anak kecil.

Perlu diingat kebocoran kecil karbon monoksida boleh mengakibatkan kematian. Maka sentiasa berwaspada demi keselamatan diri anda dan orang lain.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular