Benarlah kata orang, kasih sayang antara nenek dan cucu adalah sesuatu yang sangat besar dan mendalam maknanya. Seorang nenek sanggup melakukan yang terbaik untuk cucunya agar mereka dapat membesar dengan sempurna.

Begitulah yang ditunjukkan oleh seorang nenek yang membesarkan cucu lelaki kesayangannya, Jae-ho, sejak cucunya itu masih berusia tiga bulan.

Jae-ho mempunyai masa silam yang menyedihkan. Selepas bapanya meninggal dunia kerana kemalangan ketika Jae-ho masih bayi, ibunya memutuskan untuk melarikan diri dan menghantar Jae-ho ke rumah anak-anak yatim.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja mengetahui rancangan licik ibu Jae-ho, nenek Jae-ho secara senyap-senyap telah melarikan Jae-ho untuk membesarkannya sendiri.

Walau bagaimanapun, nenek Jae-ho tidak mempunyai banyak kemahiran dan mereka hidup dalam kesusahan. Nenek Jae-ho mencari rezeki dengan mengutip sampah yang dikitar semula dan pekerjaannya ini hanya memberi pulangan sebanyak 5,000 won (RM17.65) sehari sahaja.

Tetapi, syukurlah, Jae-ho bukanlah seorang remaja yang banyak karenah. Jae-ho bersyukur kerana telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh neneknya dan Jae-ho tidak suka meminta-minta barangan yang mahal daripada neneknya.

Walaupun Jae-ho sering diusik oleh rakan-rakan di sekolahnya kerana pekerjaan yang dilakukan oleh neneknya, tetapi Jae-ho masih kuat dan langsung tidak menghiraukan usikan itu.

“Orang seperti itu tidak layak untuk menjadi kawan, hanya perlu abaikan mereka,” kata Jae-ho ketika ditemubual dalam rancangan “Walk Together” yang ditayangkan di sebuah saluran televisyen Korea Selatan.

Apabila nenek Jae-ho mengetahui tentang kisahnya yang diusik di sekolah, nenek Jae-ho berasa sangat sedih dan berusaha untuk mengelakkan Jae-ho daripada mengikutnya bekerja ketika cuti sekolah. Tetapi, Jae-ho masih tetap mahu membantu neneknya agar beban nenek yang tersayang akan berkurangan.

Jae-ho, seperti remaja lain juga pasti mempunyai senarai barangan yang mahu dibeli. Tetapi, Jae-ho yang sangat mengutamakan neneknya memutuskan untuk membeli alat bantuan pendengaran untuk neneknya yang semakin hari semakin tua.

Bagaimanapun, sebaik sahaja mengetahui harga alat bantuan pendengaran itu yang terlalu mahal (100,000 won atau RM353.00), Jae-ho hanya mampu memendamkan hasratnya itu dan babak Jae-ho yang terduduk sambil kesedihan di luar klinik pendengaran itu telah menyayat hati ramai penonton.

Walaupun kedua-duanya hidup dalam kesusahan, namun, sangat jelas di mata mereka bahawa segalanya sudah cukup sempurna bagi mereka.

Kasih sayang antara keduanya jelas terpancar di wajah mereka dan semua penonton dapat menyaksikannya. Semoga kehidupan dua beranak ini semakin baik dan mereka mendapat segala yang terbaik di dunia ini.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular