Walaupun kini seluruh penduduk di dunia masih lagi bimbang tentang penularan wabak Covid-19, namun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman Facebook rasminya mengingatkan orang ramai khususnya penduduk Malaysia untuk sentiasa berjaga-jaga dengan penyakit demam denggi.

Hal ini disebabkan kerana dalam masa satu minggu sahaja iaitu dari 6 September ke 12 September yang lalu, dilaporkan sudah terdapat 5 kes kematian direkodkan yang berkaitan dengan demam denggi.

Menurut kiriman berkenaan, dua kes kematian berlaku di Johor dan selebihnya masing-masing dilaporkan berlaku di Pahang, Selangor dan Melaka.

Susulan itu, pihak KKM menasihatkan orang ramai untuk berjaga-jaga dengan sentiasa melakukan langkah pencegahan daripada gigitan nyamuk aedes dan pihak KKM juga telah mengeluarkan infografik bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Selain itu, pihak KKM turut mengingatkan orang ramai bahawa kes denggi juga adalah sama seperti wabak Covid-19 yang masih belum mempunyai vaksin dan tiada rawatan khusus yang boleh diberikan kepada pesakit. Yang lebih merisaukan adalah dalam tempoh masa enam bulan sahaja, kes kematian akibat denggi di Malaysia telah mencapai sehingga 123 kes dan rekod ini adalah lebih tinggi daripada rekod kematian wabak Covid-19 di Malaysia.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sama-sama mengambil langkah pencegahan yang terbaik agar kes demam denggi dapat dikurangkan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular