CHINA – Jenama antarabangsa Sweden, H&M mengumumkan bahawa syarikat tersebut telah mengakhiri hubungan perniagaan dengan syarikat fabrik di China ekoran dakwaan berlakunya jenayah buruh paksa yang melibatkan etnik dan agama minoriti di Xinjiang.

Syarikat itu dengan menegaskan bahawa mereka tidak akan bekerjasama lagi dengan kilang pakaian di rantau itu dan tidak akan menggunakan kapas dari Xinjiang yang merupakan kawasan yang membekalkan sumber kapas terbesar di China.

@KenRoth/Twitter

Berdasarkan sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Institut Dasar Strategik Australia (ASPI), yang diterbitkan pada bulan Mac, menunjukkan H&M sebagai salah satu penerima faedah melalui program pemindahan tenaga buruh paksa melalui hubungan mereka dengan kilang pengeluar benang celup Huafu di Anhui.

H&M mengatakan dalam sebuah pernyataan bahawa ia tidak pernah mempunyai hubungan dengan kilang di Anhui, atau operasi Huafu di Xinjiang.

Namun begitu, H&M mengakui bahawa ia memiliki “hubungan perniagaan tidak langsung dengan satu kilang” di Shangyu di wilayah Zhejiang, milik Huafu Fashion.

Walaupun tidak ada indikasi berlakunya buruh paksa di kilang Shangyu, H&M telah memutuskan untuk menghentikan hubungan perniagaan tidak langsung dengan Huafu Fashion Co, tanpa mengira unit dan wilayah, selama 12 bulan sehingga mereka mendapat maklumat lanjut mengenai tuduhan tersebut.

Syarikat itu juga memberitahu bahawa mereka telah melakukan penyelidikan di semua kilang pembuatan pakaian yang mempunyai hubungan kerjasama di China dengan tujuan untuk memastikan bahawa mereka tidak mempergunakan pekerja.

Tekanan antarabangsa juga semakin rancak dilakukan terhadap Parti Komunis China atas kekejaman mereka di wilayah Xinjiang yang kaya dengan sumber. Pada Isnin lalu, Kesatuan Eropah telah melakukan tekanan ke China dengan menyuruh negara itu untuk membenarkan pemerhati bebasnya masuk ke Xinjiang. Hal itu bertujuan supaya mereka dapat memerhatikan hak asasi manusia yang diamalkan di wilayah itu demi perjanjian perdagangan dan pelaburan masa depan dengan Beijing.

Kumpulan hak asasi mengatakan lebih daripada satu juta orang Uighur menderita di kem pendidikan semula politik, yang digambarkan oleh Beijing sebagai pusat latihan vokasional di mana pendidikan diberikan supaya penduduknya keluar daripada kemiskinan dan menjauhkan diri dari radikalisme Islam.

China mengatakan bahawa kritikan yang diterima mengenai cara mereka ‘mengurus’ penduduk Xinjiang adalah bermotifkan politik dan berasaskan penipuan.

Pada hari Isnin, kastam AS mengatakan bahawa mereka akan melakukan larangan terhadap sejumlah produk China termasuk kapas, pakaian dan produk rambut, dari Xinjiang kerana bimbang kesemua barangan tersebut dibuat menggunakan tenaga buruh paksa.

China pula telah mengecam tindakan AS sebagai “penindasan” dan menolak tuduhan berlakunya buruh paksa dan mengatakan bahawa tuduhan tersebut adalah “palsu”.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES GLOBAL Kempen

Video Popular