TASEK GELUGOR- Dua buah kilang memproses makanan dan sebuah kedai runcit diarah tutup selama 14 hari oleh  Jabatan Kesihatan Pulau Pinang ekoran tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kasihatan  Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid, berkata bahawa serbuan dilakukan selepas pihaknya mengadakan intipan sejak minggu lalu terhadap dua buah kilang yang beroperasi tanpa lesen itu.

Ekoran serbuan itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengeluarkan kompaun masing-masing sebanyak RM20,000 atas pelbagai kesalahan yang berkaitan dengan masalah kebersihan.

Premis pertama adalah sebuah kilang memproses mi di Kampung Selamat yang terletak berhampiran dengan kandang khinzir dan beroperasi tanpa lesen, lapor Bernama.

Selain itu, pihak berkuasa juga mendapati pekerjanya tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap dan membiarkan produk yang siap dijual kepada pengguna bersepah di atas lantai dan dihurung lalat.

“Kilang ini telah diserbu sebelum ini pada tahun 2012 dan hingga kini beroperasi secara haram,” kata Mohd Wazir Khalid.

Premis kedua adalah sebuah kilang memproses kelapa yang terletak di kawasan yang sama. Premis tersebut juga didapati beroperasi tanpa lesen dan berada dalam keadaan kotor.

Pekerja kilang dilihat memijak kelapa yang dikisar sebelum dijemur di kawasan yang ada anjing. Tambahan lagi, kelapa juga disimpan di dalam bekas kotor dan diletakkan berhampiran dengan tandas yang akan menyebabkan berlakunya risiko penyakit kolera dan demam kepialu.

Dua kilang memproses makanan itu diarah tutup selama 14 hari kerana tidak mematuhi prosedur kebersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Premis ketiga adalah sebuah kedai runcit yang terletak di Tasek Gelugor. Serbuan itu mendapati bahawa terdapat kotoran berpunca daripada tikus dan barang-barang dijual juga melebihi tarikh akhir.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular