Dunia yang digambarkan George Orwell dalam filem “1984” dan “Animal Farm” sering digunakan sebagai analogi untuk negara totalitarian, seperti China. Baru-baru ini, Parti Komunis China (PKC) menggunakan taktik pengawasan dan mengawal warganya secara besar-besaran di tahap baru, membangun jaringan internet untuk melihat dan mengimplikasi ‘seluruh klan’ melalui kesatuan atau pertubuhan, yang secara diam-diam memantau telefon pintar peribadi, bahkan memasang kamera di dalam rumah warganya.

Seperti yang ditunjukkan dalam dokumen dalaman rahsia PKC yang diperoleh secara eksklusif oleh The Epoch Times, di bawah nama sekatan COVID-19, rejim ini telah secara sistematik memperluas jaringan pengawasannya secara besar-besaran, menghabiskan ratusan juta yuan, mengambil sejumlah besar pekerja mahir, dan menggabungkan lebih banyak jabatan kerajaan. Langkah-langkah yang terlibat menjadi semakin invasif, yang mana secara langsung telah melanggar perlembagaan negara China itu sendiri.

STR/AFP/Getty Images

PKC menyatukan dan memperluas sistem pengawasan.

The Epoch Times baru-baru ini memperoleh dokumen dalaman dari kerajaan tempatan yang menunjukkan bahawa pengawasan PKC terhadap rakyat telah diperluaskan kepada sistem pengawasan internet dan video ‘Skynet’ dan ‘Projek Xueliang’ dari jabatan keselamatan awam (polis China) ke jabatan pengurusan bandar, perlindungan alam sekitar, pengangkutan dan pendidikan. Rejim ini sedang membangunkan sistem pemantauan komprehensif tiga dimensi, yang mengumpulkan sumber dari pelbagai jabatan. Malah rumah persendirian juga tidak terlepas. Ini adalah pelanggaran privasi yang sistematik, seperti yang ditunjukkan dalam dokumen dalaman dari pelbagai wilayah.

Sebagai contoh, Jawatankuasa Politik dan Perundangan Cixian di bandar Handan, Wilayah Hebei telah mengeluarkan ‘Laporan Tinjauan mengenai Pengukuhan dan Inovasi Pengurusan Sosial’. Laporan tahun 2019 itu menyatakan ‘Projek Xueliang’ digunakan untuk meningkatkan pembinaan standard pengurusan pusat yang komprehensif, dan memerlukan ‘perkongsian dan secara beransur-ansur menghubungkan sumber pemantauan keselamatan awam, pengurusan bandar, perlindungan alam sekitar, pengawasan keselamatan, makanan dan penyeliaan ubat-ubatan, pengangkutan, pendidikan dan jabatan lain ke platform pemantauan pusat pengurusan daerah secara komprehensif’.

Menurut laporan ‘Akaun Kerja Utama untuk Pengembangan Maklumat’ tahun 2020 dari Kerajaan Tempatan Bandar Dingzhou, Wilayah Hebei, fokus kerja dalam pengembangan maklumat pada tahun ini adalah untuk mengintegrasikan sumber pengawasan video di bandar ini, termasuk ‘mengintegrasikan peranti pengawasan video keselamatan awam, pengurusan bandar, polis trafik, dan jabatan pelindungan alam sekitar. Bahkan sistem perkhidmatan pengangkutan awam e-hailing juga tidak terlepas, yang memerlukan rakaman dokumen bagi mengaktifkan platform pemantauan untuk perkhidmatan perjalanan dalam talian’.

Sekiranya warga China telah lama terbiasa terhadap pelanggaran privasi oleh kerajaan, maka pengawasan rahsia PKC yang dinyatakan di bawah mungkin melebihi garis normal yang ditetapkan di bawah siapa pun. Walaupun seseorang cuba bersembunyi di dalam rumah, ‘Big Brother’ masih dapat menonton dan mengawasi.

‘Big Brother’ di dalam rumah semua orang.

Unsplash/ Gambar Hiasan

Dua tahun lalu, ketika rejim China memasang kamera di depan pintu rumah orang, ini telah menimbulkan kemarahan orang awam dan menarik perhatian media antarabangsa kerana pencerobohan secara terang-terangan terhadap privasi individu. Kini rejim membawanya ke tahap baru dengan memasang kamera di dalam rumah orang.

Dalam dokumen yang dibocorkan, ‘Jawatankuasa Pengurusan Tadbir Urus Sosial Komprehensif’ di bandar Tangshan, Wilayah Hebei, sebuah organisasi yang mengawal selia kestabilan PKC mengeluarkan pemberitahuan dalam ‘Titik Utama untuk Pengurusan Komprehensif Keselamatan Sosial dan Pembinaan Keselamatan di Tangshan pada tahun 2017’. Dokumen ini diperlukan dalam mempromosi pembangunan ‘Projek Xueliang’ dengan ‘memperluas sistem video pengawasan ke rumah orang awam atau menggunakan aplikasi untuk mengakses dan memeriksa telefon pintar orang awam’.

Projek Xueliang merujuk kepada sistem pengawasan video yang dibuat untuk mengawasi kawasan luar bandar, untuk melengkapi sistem ‘Projek Skynet’ yang meliputi kawasan di wilayah dan bandar.

Pengawasan video ‘diperluaskan ke rumah orang awam’ yang tidak terbatas hanya di Tangshan malahan di tempat lain. Majalah Bitter Winter, yang telah lama memperhatikan pencabulan hak asasi manusia di China, melaporkan pada bulan April 2019 bahawa mereka mendapat maklum balas daripada orang ramai di beberapa wilayah, termasuk Hangzhou dan Zhejiang. Pemilik premis dan tanah tempatan diperintahkan oleh jabatan keselamatan awam untuk memasang kamera di setiap rumah sewa dan pangsapuri atas nama ‘pencegahan kecurian’ dan ‘wajib menerima pengawasan polis’.

Pengulas hal ehwal semasa Li Linyi berkata ini menunjukkan bahawa pengawasan PKC semakin ‘nakal melampau’. Setelah penyelenggaraan kestabilan ditingkatkan kepada sistem pengawasan tiga dimensi, sistem ini menjadi lebih agresif terhadap pencabulan privasi dan hak asasi warga China.

Kaedah pengawasan invasif digunakan dalam melakukan penganiayaan ke atas Falun Gong.

Langkah pengawasan yang invasif dan agresif seperti ini telah digunakan ke atas pengamal Falun Gong oleh PKC. Pada bulan Februari, semasa perintah berkurung seluruh negara akibat pandemik Virus PKC (COVID-19), pengamal Falun Gong, Chang Xiuhua dari daerah Huanan, bandar Jiamusi, Wilayah Heilongjiang telah diculik oleh polis keselamatan nasional PKC dan dihantar ke Pusat Tahanan Jiamusi.

Namun, disebabkan perintah berkurung, pusat tahanan menolak untuk membawanya masuk. Kemudian polis keselamatan nasional Li Xiaolin dan pegawai tempatan lain memutuskan untuk menempatkan Chang Xiuhua dalam ‘kuarantin paksa’ di dalam rumah selama enam bulan, dengan kamera dipasang di dalam rumahnya selama 24 jam sehari yang merupakan pemantauan masa sebenar. Pakar undang-undang berkata ia adalah satu tindakan yang menyalahi undang-undang dan hak asasi.

Chen Jiangang, bekas peguam hak asasi manusia di China dan sarjana pelawat di Fakulti Undang-Undang, Universiti Washington berkata kepada The Epoch Times dalam wawancara pada 25 Ogos, “Dari sudut undang-undang, ini jelas menyalahi hak asasi. Polis tiada hak untuk memasang kamera di rumah orang awam untuk memantau setiap pergerakannya. Apa yang dipantulkan dalam kes ini adalah pencabulan hak asasi manusia, hak privasi, dan hak-hak lain, seperti kebebasan bergerak individu. PKC sedar bahawa ia satu tindakan tidak sah untuk mereka melakukannya.”

Bekas peguam hak asasi manusia dari China, Peng Yongfeng memberitahu dalam wawancara pada 28 Ogos bahawa menurut Artikel 245 Undang-Undang Jenayah China, “Sesiapa sahaja yang melakukan geledahan tubuh atau geledahan harta benda persendirian secara tidak sah akan berdepan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau tahanan jenayah. Pegawai kehakiman yang menyalahguna kuasa dan melakukan jenayah yang disebutkan di perenggan ini sepatutnya berdepan hukuman berat.”

Peng menjelaskan pihak polis keselamatan nasional di daerah Huanan telah melanggar undang-undang. Katanya, “Polis menggunakan peranti untuk memantau pengamal Falun Gong, bahkan memasang kamera di rumah mereka, yang secara serius telah melanggar hak warganegara, melanggar hak privasi warganegara, dan melanggar maklumat peribadi. Hak-hak ini dilindungi dan dinyatakan dalam peruntukan undang-undang di China.”

The Epoch Times mendedahkan dalam laporan sebelumnya bahawa PKC telah menggunakan alasan ‘memerangi COVID-19’ untuk memperluas pengawasannya terhadap warga China di tanah besar, termasuk memperkuat jaringan pengurusan untuk pengekalan kestabilan rejim. Pengurusan jaringan adalah sistem yang baru-baru ini diadaptasi oleh Beijing untuk memantau dan mengawal selia individu dan penduduk. Ia telah lama digunakan di Tibet. Penduduk tempatan dikumpulkan dalam kumpulan dan memberi tugas kepada pengurus jaringan yang akan mendapatkan maklumat peribadi secara terperinci daripada mereka.

Jaringan internet yang memantau setiap warganegara.

Unsplash/ Gambar Hiasan

PKC telah menghabiskan banyak wang dalam belanjawannya untuk membangun jaringan internet di setiap bandar demi untuk mengawasi setiap warganya dan menghukum mereka secara berkelompok sebagai ‘implikasi seluruh klan’ di era zaman moden.

Ini dilakukan secara langsung oleh cawangan Parti Komunis China dan bukannya organisasi kerajaan. Ia mirip dengan era kawal selia Mao Zedong ketika bandar-bandar dipecah menjadi jaringan di mana unit sosialis dikawal ketat oleh cawangan parti. Kini, ia dilakukan melalui internet, seperti yang didedahkan oleh dokumen dalaman yang diperolehi oleh The Epoch Times.

Suruhanjaya Undang-Undang Perbandaran Huangshan menjelaskan dalam dokumen dalamannya bahawa salah satu langkah untuk memperkuat pembinaan keselamatan atau penjagaan kestabilan adalah meletakkan dasar kepada jaringan internet dan memperluas jangkauan itu kepada kawalan sosial di bandar-bandar. Secara khusus, ini termasuk membangunkan cawangan parti di setiap jaringan untuk mengintegrasikan jaringan kelompok parti dengan jaringan pengurusan sosial, dan menggunakan sistem ‘integrasi jaringan berganda’ untuk memperkuatkan kesemua jaringan.

Parti Komunis China telah membelanjakan 300 juta yuan untuk membangunkan projek ‘Skynet’ yang merangkumi kawasan bandar dan luar bandar, dokumen itu mendedahkan.

Suruhanjaya Undang-undang Perbandaran Bengbu mendedahkan dalam dokumen yang bertajuk ‘Berusaha Meningkatkan Sistem Sokongan Standard Moden untuk Tadbir Urus Sosial Kerajaan Tempatan’ di mana bandar Bengbu telah melatih lebih 1,000 kakitangan jaringan internet sepenuh masa dengan ijazah pengajian tinggi atau lebih tinggi pada tahun 2017 dan 2018. Sejumlah 80 juta yuan diperuntukkan setiap tahun hanya untuk menjaga mereka yang meliputi seluruh bandar dengan kepadatan ‘satu kakitangan jaringan kepada setiap jaringan’.

Menurut dokumen ‘Jadual Projek’ yang bocor diperolehi dari bandar Wuhu, Wilayah Anhui, ‘Projek Xueliang’ telah dilancarkan pada bulan Ogos 2018 yang memiliki jumlah pelaburan sebanyak 290 juta yuan,  berbanding dengan peruntukan belanjawan untuk bandar iaitu 1.65 bilion yuan untuk pendidikan dan 1.08 bilion yuan untuk perubatan pada tahun itu. Pada tahun 2018, populasi Wuhu hampir mencecah 4 juta orang.

Unsplash/ Gambar Hiasan

Dokumen itu juga mendedahkan fungsi khas sistem maklumat tadbir urus komprehensif dari Jawatankuasa Politik dan Perundangan Wilayah Anhui, yang disebut ‘profil rakyat’. Apabila maklumat kad pengenalan seseorang dimasukkan, sistem komputer dapat menunjukkan peta hubungan orang tersebut. Syarikat iFlytek yang membantu kerajaan Anhui membina sistem maklumat telah dikenakan sekatan oleh pentadbiran Amerika Syarikat pada tahun 2019.

Li Linyi menganalisa bahawa fungsi ini memberi maksud bahawa PKC telah memasukkan carta hubungan setiap individu dengan saudara-mara dan rakan-rakan mereka ke dalam sistem pengawasan pemeliharaan kestabilannya. Ini bermakna pada hakikatnya, PKC melaksanakan apa yang digelar ‘implikasi keseluruhan klan’ di zaman moden, dengan memerhati, mengawasi  dan menghukum setiap orang, juga keluarga, rakan dan hubungan sosial dalam jaringan mereka.

 

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular