KLANG – Pihak berkuasa melalui kolaborasi pasukan Op Benteng berjaya mengagalkan cubaan menyeludup masuk 77 pendatang tanpa izin (PATI) dari Indonesia ke dalam negara ini secara haram di Pulau Ketam pada petang 14 September.

Pasukan Polis Daerah Klang Selatan bersama Pasukan Polis Marin yang menjalankan Op Benteng Laut Unit Tindakhas telah menemui tongkang mencurigakan yang berada di perairan Pulau Ketam ketika melakukan rondaan berhampiran perairan Pelabuhan Klang, dan mengarahkan ia supaya berhenti untuk diperiksa.

PDRM/Facebook

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.10 malam 14 September, ketika polis marin menaiki tongkang untuk diperiksa, mereka mendapati terdapat pendatang tanpa izin berada di dalamnya dan bertindak untuk menahan serta-merta.

Tiga orang PATI cuba melarikan diri dengan melompat keluar dari tongkang, namun telah berjaya diberkas oleh pasukan polis yang terlibat.

PDRM/Facebook

“Tongkang yang melakukan cubaan memasuki perairan Malaysia secara haram ini, membawa 77 PATI warganegara Indonesia yang terdiri 53 lelaki, 18 wanita, yang berusia antara 17 hingga 58 tahun termasuk kanak-kanak kecil berusia setahun dan tiga tahun. Tekong dan kru tongkang terbabit yang juga warganegara Indonesia turut ditahan untuk membantu siasatan,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar.

Shamsul Amar berkata siasatan awal mendapati kesemua PATI dalam perjalanan dari Tanjung Balai di Indonesia, cuba menyeludup masuk ke Malaysia melalui perairan Klang.

Siasatan sedang dijalankan menurut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1963/59.

Kesemua PATI yang ditahan serta pegawai dan anggota operasi yang terlibat dalam Op Benteng turut diwajibkan menjalani proses saringan COVID-19 Rapid Test di jeti Marin Pelabuhan Klang.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular