Kematian kerbau yang dipelihara keluarga Syukor Khamis atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ ternyata menggemparkan rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, sejumlah 36 ekor kerbau yang dipelihara mereka di Kampung Banggol Katong, di Serada, Kuala Terengganu didapati mati secara berperingkat.

“Pada mulanya saya ingatkan ternakan saya hanya alami keracunan atau penyakit biasa. Tapi jadi semakin pelik sebab ia makin bertambah”.

Punca kematian kerbau yang melibatkan kerugian lebih RM200,000 tersebut dipercayai akibat daripada penyakit hawar berdarah.

Dalam pada itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu hari ini mengisytiharkan kandang kerbau milik keluarga Syukor sebagai kawasan larangan.

Pengarahnya, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata langkah itu dikuatkuasa mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647), yang hanya membenarkan pemiliki kandang sahaja memasuki kawasan tersebut.

“Ia adalah SOP jabatan dalam memastikan tiada sebarang pergerakan keluar masuk orang ramai atau kenderaan ke kandang tersebut kerana ia mendatangkan risiko jangkitan pada haiwan ternakan di kawasan lain”.

Sementara itu, bapa Syukor, Khamis Jusoh berkata kejadian itu amat menyedihkan buat mereka sekeluarga memandangkan ia kali pertama berlaku sejak 50 tahun mereka menternak kerbau.

“Rasa sedih memang tak dapat dibendung. Terlalu banyak kerbau yang mati. Kalau diikutkan, seekor kerbau berharga antara RM3,000 ke RM7,000”, katanya.

Jelas Syukor, kerbau kesayangannya iaitu Samek dan Along masih dalam keadaan yang baik dan sudah disuntik vaksin pencegahan.

Namun terdapat beberapa ekor kerbau peliharaannya yang lain berada dalam keadaan tidak sihat dan mungkin akan mati ekoran punca yang sama.

“Dugaan besar buat kami sekeluarga.. Mungkin sekarang musim wabak. Kami sekeluarga mengharapkan doa daripada semua agar musibah ini segera berakhir”, tulis Syukor di laman Facebook.

Walaupun punca kematian itu dipercayai disebabkan oleh penyakit hawar berdarah, namun keputusan ke atas sampel hanya akan diperolehi dalam tempoh dua minggu lagi.

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP NASIONAL

Video Popular