HONG KONG – Rakaman dua orang pegawai yang menggunakan kekerasan terhadap seorang gadis 12 tahun di jalanan pada hujung minggu lalu menimbulkan kemarahan orang awam terhadap keganasan pihak polis.

Video berkenaan dikongsi secara meluas di laman sosial menunjukkan pihak polis memukul sekumpulan orang sekitar Mong Kok. Gadis itu yang berada di khalayak ramai pada mulanya melarikan diri.

Anggota polis kemudiannya berteriak, “jangan bergerak” manakala seorang lagi anggota kemudian memukulnya hingga mangsa terjatuh. Selepas itu mangsa ditahan.

Gadis berkenaan dikenali sebagai Pamela dan dia telah dikenakan denda bersama dengan abangnya, Steven yang berusia 20 tahun serta seorang lagi individu kerana melanggar peraturan penjarakan sosial.

Paparan Skrin/YouTube

Peraturan itu melarang perhimpunan awam melebihi dua individu. Penangkapan itu berlaku ketika protes besar-besaran pada Ahad terhadap keputusan kerajaan untuk menangguhkan pilihan raya badan legislatif.

Ia dikritik oleh sesetengah pihak sebagai usaha untuk menghalang kekalahan yang memalukan terhadap parti-parti pro-demokrasi.

Hampir 300 individu ditahan di lokasi tunjuk perasan berlangsung iaitu di kejiranan Yau Ma Tei dan Mong Kok.

Menurut laporan, Pamela dirawat kerana mengalami lebam pada sikunya dan calar sementara abangnya mengalami kecederaan ringan di kaki.

Mempertahankan tindakan mereka, pihak polis dalam satu kenyataan beberapa jam kemudian mengatakan bahawa mereka telah meminta gadis itu dan beberapa yang lain untuk berhenti.

Paparan Skrin/YouTube

Mereka difahamkan telah cuba untuk ‘memecahkan’ individu yang berdemonstrasi di kawasan berdekatan.

“Dia tiba-tiba melarikan diri dengan cara yang mencurigakan. Oleh itu, anggota kami mengejar dan memukulnya menggunakan kekuatan minimum”, jelas kenyataan itu.

Sejak tunjuk perasaan pro-demokrasi besar-besaran berlangsung di Hong Kong, polis mendapat kritikan kerana menggunakan kekerasan berlebihan semasa menangani para penunjuk perasaan.

Ia termasuklah serangan seksual yang dilakukan terhadap para pelajar wanita, menggunakan semburan lada sesuka hati, memukul penumpang kereta api dan mengepung kampus selama dua minggu.

Undang-undang keselamatan negara yang dirangka oleh Beijing itu mula dilaksanakan pada Julai lalu di Hong Kong.

Secara dasarnya, ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk melakukan penangkapan berdasarkan tuduhan pemisahan, penindasan, bergabung dengan pasukan asing dan juga keganasan.

Mana-mana individu yang ditahan atas kesalahan-kesalahan tersebut akan dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Anthony Kwan/Getty Images

Walau bagaimanapun, menurut ibu Pamela, anaknya itu tidak terlibat langsung dengan protes tersebut. Dia hanya pergi ke kedai untuk mendapatkan peralatan seninya.

Ibu Pamela, Ho menjelaskan kepada media bahawa dia berpisah dengan dua orang anaknya itu ketika membeli barangan. Mereka bercadang untuk bertemu kembali selepas selesai pembelian.

“Saya sangat takut, saya tidak boleh bertenang dan mula melarikan diri”, jelas Pamela. Menurut abangnya, mereka enggan untuk membayar denda dan akan membuat aduan mengenainya.

Tambah Steven yang pada ketika itu cuba melindungi adiknya, denda tersebut adalah tidak munasabah dan mereka tidak mengenali individu lain yang turut didenda bersama mereka.

Pergelangan kaki Steven difahamkan membengkak dan keadaannya bertambah buruk. Ho kemudian menambah bahawa mereka akan merujuk kepada peguam untuk menyaman pihak polis.

“Saya tahu pada saat ini, aduan adalah tidak berguna langsung tetapi kami mahu tinggalkan rekod mengenainya”, jelas Ho.

Pemimpin bandar itu, Carrie Lam mengatakan kepada wartawan bahawa adalah tidak patut bagi Ketua Eksekutif untuk memberikan pendapat mengenai operasi sebenar di lapangan.

“Seseorang harus melihat keadaan sebenar ketika menilai kegiatan polis. Setiap kejadian dan aduan terhadap tindakan pihak berkuasa akan disiasat sepenuhnya”, kata beliau.

Sebuah badan amal tempatan, The Boys’ & Girls’ Clubs Association of Hong Kong, meminta pihak berkuasa untuk melakukan penyiasatan yang adil dan telus.

“Ketika terdapat kanak-kanak, penguatkuasa undang-undang seharusnya mempertimbangkan operasi sekitar mereka dan melindungi hak kanak-kanak seboleh mungkin”.

Beberapa pakar perubatan juga menzahirkan rasa lega kerana Pamela hanya mengalami lebam dan calar sahaja.

Ini kerana kekerasan pihak polis yang bertindak menjatuhkannya ke tanah sebenarnya menggunakan beban tubuh mereka berupaya menyebabkan kecederaan yang jauh lebih serius.

“Tulang rusuknya boleh retak. Mujurlah dia hanya mendapat calar dan beberapa lebam sahaja”, kata seorang doktor.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular