JOHOR BAHRU: Aksi ‘flying kick’ seorang pegawai Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ketika menyelamatkan seorang wanita yang hampir menjadi mangsa ragut telah mendapat perhatian ramai apabila video melalui kamera litar tertutup (CCTV) menjadi tular.

Tindakan pantas Shazrin Hafeez Fadzlan, 26, telah mengundang pujian ramai apabila dia terus bergegas ke tempat kejadian setelah terdengar jeritan seorang wanita. Tanpa berfikir panjang Shazrin terus bertindak untuk menyelamatkan wanita tersebut.

Ekoran videonya yang tular telah membuatkan gerai burgernya menjadi terkenal dan mula menerima pelanggan yang lebih ramai daripada biasa. Selain bekerja sebagai pegawai MBJB, Shazrin juga menjual burger pada waktu malam sebagai kerja sampingan yang telah diusahakan sejak tiga tahun lalu.

“Saya berniaga burger sebagai pendapatan sampingan, bermula pada pukul 7 petang hingga 11.30 malam. Kebiasaannya, boleh jual antara 60 hingga 70 biji burger sehari namun semalam (Rabu) saya menjual lebih 200 biji burger.”

“Saya tidak sangka video kejadian itu tular dengan pantas di media sosial dan saya amat berterima kasih dengan sokongan ditunjukkan orang ramai. Sekiranya saya berpeluang melakukan perkara sama pada masa depan, saya tidak akan teragak-agak untuk membantu masyarakat,” katanya ketika dihubungi pada hari Khamis lalu.

Kejadian itu berlaku pada tengah hari, hari Selasa dan ketika itu dia sedang memeriksa petak letak kenderaan berkupon di Jalan Austin Height 8/9 di Taman Mount Austin. Di situlah dia terdengar jeritan seorang wanita meminta tolong.

“Sebaik menoleh ke arah jeritan itu, saya ternampak peragut tersebut terjatuh daripada motosikalnya ketika cuba melarikan diri.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus meluru ke arah peragut tersebut dan berusaha untuk menahannya. Tindakan itu adalah automatik tanpa mengambil kira risiko yang mungkin berlaku.

“Mujur orang awam yang berada di sekitar turut datang membantu menahan peragut tersebut.” 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular