Beijing – Etnik Mongolia di China Utara yang terdiri daripada pelajar sekolah dan ibu bapa pada 31 Ogos lalu telah melakukan tunjuk perasaan selepas Kerajaan China memutuskan untuk mengubah kurikulum sekolah iaitu dengan menghentikan pembelajaran subjek teras dalam bahasa Mongolia.

Perubahan berkenaan dilaporkan melibatkan subjek sekolah rendah dan menengah termasuk subjek sejarah, politik dan bahasa yang diarahkan diajar dalam bahasa Mandarin mulai 1 September.

Byambasuren Byamba-Ochir/AFP/Getty Images

Perubahan ini seterusnya telah membangkitkan amarah para etnik Mongolia yang berpendapat bahawa perubahan ini adalah bertujuan untuk menghapuskan budaya Mongolia di negara berkenaan.

Tambahan pula, langkah penyeragaman pendidikan nasional adalah merupakan salah satu pemacu dasar utama di bawah Presiden China Xi Jinping, yang sebahagian besarnya bermatlamat untuk mempromosikan kesetiaan kepada China dan Parti Komunis.

Berikutan berita perubahan dalam kurikulum sekolah ini, Presiden Mongolia, Tsakhia Elbegdorj menerusi laman Twitternya pada 1 September telah mengecam keputusan negara China.

“Kita perlu menyuarakan sokongan kita kepada orang-orang Mongolia yang berusaha memelihara bahasa ibunda dan tulisan suci mereka di China. Hak untuk belajar dan menggunakan bahasa ibunda seseorang adalah hak yang tidak boleh dinafikan untuk semua orang,” tulisnya.

Byambasuren Byamba-Ochir/AFP/Getty Images

Selain di China, penduduk di negara Mongolia sendiri telah melakukan protes kecil-kecilan di hadapan kedutaan China di Ulaanbaatar pada 31 Ogos lalu bagi menunjukkan rasa tidak puas hati.

“Kebanyakan daripada kita telah kehilangan kemampuan untuk bertutur dalam bahasa Mongolia, tetapi orang Mongolia Dalam masih mengekalkan tradisi itu. Saya di sini untuk menunjukkan solidariti dengan saudara selatan saya,” kata seorang guru falsafah, Tseren Tuvshinjargal, berkenaan isu ini.

Susulan isu perubahan kurikulum sekolah ini, ramai ibu bapa di China Utara telah mengeluarkan anak-anak mereka daripada sekolah sebagai tanda protes.

Kementerian Pendidikan China dan Suruhanjaya Hal Ehwal Etnik di China bagaimanapun sehingga kini masih lagi belum mengeluarkan apa-apa komen tentang isu ini sementara semua video-video berkaitan tunjuk perasaan ini yang dimuat naik di media sosial telah dipadam oleh pihak-pihak yang tertentu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular