Seorang budak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan meninggal dunia ekoran terjatuh daripada tingkat lapan.

Mangsa sebelum itu difahamkan mahu menggunakan lif bersama neneknya. Sejurus sahaja mangsa masuk ke dalam lif, pintu lif tertutup menyebabkan neneknya tidak sempat masuk.

Insiden yang berlaku pada 28 Ogos lalu di bandar Zhuzhou, wilayah Hunan itu menyebabkan kematian budak terbabit ketika mangsa cuba untuk mencari ahli keluarganya.

Menerusi rakaman CCTV, budak tersebut dilihat terperangkap sendirian di dalam lif apabila neneknya tidak sempat memasuki lif.

Berasa panik, mangsa kemudian dilihat menekan butang tingkat empat namun mendapati tiada siapa di tingkat tersebut, membuatkannya menekan butang tingkat lapan.

Di tingkat lapan, pintu lif terbuka dan mangsa kemudian dilihat berjalan ke koridor. Tidak lama kemudian, mangsa berada di tingkap koridor setinggi 92 sentimeter sebelum terjatuh.

Menurut laporan, keluarga mangsa sepatutnya meraikan sambutan hari lahir nenek mangsa pada hari kejadian.

“Kami terdengar bunyi jatuh yang kuat. Apabila kami lihat, dia telah terjatuh ke bawah daripada tingkap”, kata seorang keluarga.

Mangsa difahamkan memanjat penghadang tingkap lalu berdiri sebelum terjatuh. Insiden itu menyebabkan nenek mangsa masih lagi berduka cita dan menyalahkan dirinya.

Selain peranan ibu bapa dalam menjaga pergerakan anak masing-masing, dalam kes ini, jelas sekali bahawa pihak pengurusan bangunan tersebut tidak menitikberatkan keselamatan.

Ini kerana penghadang tingkap itu agak rendah dan berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak yang masih lagi tidak mengerti apa ertinya bahaya.

Justeru, ibu bapa dan penjaga di luar sana dinasihatkan agar sentiasa mengawasi anak-anak dan jangan terlepas pandang semua aspek walaupun seketika.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular