Haiwan, sama seperti manusia, perlukan belaian dan kasih sayang untuk terus hidup dengan tahap kesihatan mental dan fizikal yang baik. Dan seekor ikan emas berusia 10 tahun ini telah membuktikan perkara tersebut.

Lacey Scott pertama kali bertemu dengan Monstro ketika Monstro berada di lantai akuarium di sebuah kedai haiwan peliharaan pada beberapa bulan yang lalu. Menurut Scott, pada waktu itu, Monstro kelihatan sangat menyedihkan, punyai tubuh yang berwarna kelabu, kusam dan biji matanya kelihatan kabur.

TikTok

“Monstro kelihatan seperti sedang tertekan,” kata Scott kepada The Dodo.

“Saya tidak dapat berhenti berfikir tentangnya,” kata Scott mengimbas kembali detik dia bertemu ikan emas yang malang itu.

Selepas bertanya kepada pemilik kedai haiwan peliharaan itu, Scott mendapat tahu bahawa Monstro telah ditinggalkan di kedai itu selepas Monstro dibela selama 10 tahun di dalam kolam ikan. Dan disebabkan rasa simpati yang tinggi kepada Monstro, Scott memutuskan untuk membawa Monstro pulang bagi menjaganya.

TikTok

“Saya tidak dapat menahan fikiran bahawa seekor ikan yang hidup dengan lama itu dibiarkan begitu sahaja, menghabiskan sisa harinya di kedai haiwan peliharaan,” luah Scott.

Selepas Scott membawa Monstro pulang, Monstro diberikan akuarium umpama ‘hospital’ di mana Scott akan menukar air akuarium itu pada setiap hari, memberi makanan yang berkualiti kepada Monstro dan mencuba sehabis baik untuk menjaga Monstro.

Walau bagaimanapun, pada minggu-minggu terawal kepulangannya, Monstro seperti sudah berputus-asa dengan dirinya sendiri. Monstro tidak mahu makan dan tidak mahu bergerak.

Tetapi keajaiban tetap berlaku.

TikTok

“Genap sebulan, saya melihatnya berenang untuk masa yang singkat. Dan pada saat itu saya telah jatuh cinta kepadanya,” kata Scott.

Dan selepas itu, satu-persatu perubahan mula muncul pada Monstro.

TikTok

Biji mata Monstro yang sebelum ini kabur mula kelihatan jernih, sisiknya yang sebelum ini berwarna kelabu dan kusam perlahan-lahan mula berubah menjadi warna oren keemasan dan Monstro semakin aktif.

“Saya temui banyak kegembiraan dalam hanya menyaksikan personalitinya muncul,” kata Scott dengan gembira.

TikTok

“Ramai orang berkata bahawa ikan ini bukanlah ikan yang sama dan sejujurnya, saya tidak boleh menyalahkan mereka,” kata Scott. “Saya juga tidak menyangka bahawa Monstro akan berubah dengan banyak begini.”

Kini, Monstro hidup dengan gembira tidak lagi berasa tertekan. Setelah dipindahkan ke dalam akuarium yang lebih besar, Monstro punyai semangat baharu dan semakin aktif.

Jadi benarlah kata orang, apa yang diperlukan hanyalah peluang kedua, untuk menjadi lebih baik.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular