Ramai antara kita yang sangat pentingkan penampilan diri. Sebelum keluar kita akan memastikan pakaian, rambut atau solekan sentiasa nampak sempurna.

Namun, di sebalik kesempurnaan itu masih ramai antara kita yang kurang peka dengan kesihatan mulut. Ya, kita menggosok gigi setiap hari tetapi kita terlupa ada rutin kebersihan mulut yang lain yang perlu diamalkan.

Baru-baru ini, seorang doktor gigi, Mohd Khairul Izwan, dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berkongsi sebuah statistik yang mengejutkan.

Gambar Hiasan/Photo-AC

“Tahukah anda, purata rakyat Malaysia memberus gigi adalah kurang daripada 1 minit setiap hari?”

“Malah ada sebahagian daripada kita yang hanya memberus gigi dalam masa di bawah 10 saat!”

Tidak hanya itu, menurut Dr Khairul lagi masih ramai sebenarnya antara kita yang tidak memberus permukaan lidah yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada masalah bau mulut.

Tambahnya lagi, jika gigi diberus dalam tempoh masa yang terlalu singkat, tidak semua permukaan gigi dapat dibersihkan terutama di bahagian yang agak tersorok terutamanya di celah-celah gigi serta pada bahagian gigi geraham yang paling belakang.

Perkara itulah yang menyebabkan seseorang tetap mengalami kerosakan gigi walaupun mereka memberus gigi setiap hari.

Gambar Hiasan/Facebook

Di dalam status Facebook itu, Dr Khairul turut berkongsi beberapa petua penjagaan gigi yang boleh diamalkan oleh rakyat Malaysia:

  • Gunakan ubat gigi berfluorida sekurang-kurangnya 2 kali sehari selama 2-4 minit setiap sesi.
  • Disarankan untuk memberus gigi pada waktu pagi dan pada waktu malam SEBELUM tidur. Amalkan juga berkumur-kumur dengan air kosong setiap kali selepas makan terutama ketika berada di tempat kerja/makan di luar.
  • Berus gigi pada setiap permukaan gigi termasuk gigi yang paling belakang. Jangan berus gigi hanya pada permukaan luar sahaja dan biarkan bahagian dalam tanpa diberus!
  • Gunakan berus gigi yang lembut dan elakkan penggunaan berus gigi yang keras untuk mencegah terjadinya hakisan gigi.
  • Jangan lupa untuk memberus permukaan lidah.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular