Benarlah kata orang, bekerja sebagai penghantar makanan di Malaysia sememangnya satu tanggungjawab yang luar biasa. Mereka perlu meredah hujan, panas terik, malahan perlu berdepan dengan haiwan peliharaan pelanggan yang ada kalanya tidak kurang garangnya.

Begitulah yang dilalui oleh Ajib Nazri, 24, seorang penghantar makanan Foodpanda yang berdepan dengan detik cemas apabila dia dan tiga orang rakannya cuba untuk menghantar sebungkus makanan di rumah pelanggannya.

Ajib Nazri/Facebook

Kejadian itu berlaku dengan pantas tetapi memang melucukan. Tambahan pula, merujuk kepada rakaman video yang dimuatnaik oleh Ajib di laman Facebook menunjukkan dia dan rakan-rakannya pada mulanya kelihatan berani menuju ke hujung lorong jalan itu.

Sambil menunggang menuju ke penghujung jalan, kedengaran Ajib dengan beraninya memanggil anjing-anjing itu untuk berdepan dengan dia dan rakan-rakannya. “Ha, mari! Mari!” jerit Ajib.

Ajib Nazri/Facebook

Bagaimanapun, tanpa disangka-sangka, selepas Ajib dan rakan-rakannya hampir berjaya menghalau anjing-anjing itu, secara tiba-tiba bunyi salakan anjing semakin kuat. Rupa-rupanya, lebih banyak anjing di kawasan itu mula datang untuk ‘bertarung’ dengan Ajib dan rakan-rakannya!

Walaupun sedang menaiki motosikal, nampaknya mereka tetap ‘goyah’ apabila mereka mendapati bahawa semakin banyak anjing yang muncul untuk ‘menyambut’ kedatangan Ajib dan rakan-rakannya. Dengan pantas, Ajib dan rakan-rakannya segera membuat pusingan U dan memecut pergi dari ‘medan pertarungan’ itu.

Ajib Nazri/Facebook

Paling lucu, Ajib yang merakam video menggunakan telefon bimbitnya itu tidak henti-henti ketawa, mungkin kerana terhibur dengan gelagat mereka sekumpulan yang tiba-tiba takut dengan kemunculan anjing yang semakin banyak itu.

Situasi ini semestinya tiada dalam perancangan mereka!

“(Kami) nak hantar satu pesanan sahaja tetapi kena bawa ‘geng’, sekali anjing punya ‘geng’ lagi banyak” tulis Ajib dalam kirimannya.

Selepas dimuat naik pada pagi 14 Ogos lalu, kiriman ini telahpun meraih sehingga lebih dari 4,800 perkongsian, lebih dari 2,400 reaksi dan 808 komen daripada warganet yang begitu terhibur dengan reaksi Ajib dan rakan-rakannya terhadap sekumpulan anjing itu.

Ajib Nazri/Facebook

Nampaknya dalam pertarungan antara anjing dengan ‘panda’, anjing tetap menjadi juara selepas ‘panda’ menarik diri dari gelanggang pertarungan!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular