Walaupun seluruh dunia sudah beberapa kali digemparkan dengan kes kematian bayi atau kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan, namun nampaknya, masih ada sesetengah ibu bapa yang culas tentang hal ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang wanita (@Caiyun) melalui akaun laman Facebooknya berkongsi pengalamannya yang berdepan dengan situasi membimbangkan apabila seorang ibu telah meninggalkan seorang bayi yang baru lahir di dalam kereta bersendirian di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah.

Menurut Caiyun, dia menyedari tentang insiden itu apabila dia sedang menuju ke keretanya untuk pulang dari pusat beli-belah itu dan melihat orang ramai berkumpul di kereta bersebelahan dengan keretanya.

Sebelum masuk ke dalam kereta, Caiyun bagaimanapun terdengar sekumpulan orang berbicara tentang seorang bayi yang ditinggalkan di dalam kereta dan mereka terdengar bunyi tangisan bayi berkenaan.

Walau bagaimanapun, orang ramai pada waktu itu tidak tahu untuk membuat keputusan sama ada perlu menghubungi pihak polis atau memecahkan cermin kereta tersebut untuk menyelamatkan bayi malang itu atau menunggu sahaja ibu bapa bayi berkenaan pulang ke kereta.

Sebaik sahaja mengetahui kisah lanjut mengenai insiden itu, Caiyun dengan segera mengambil gambar keadaan bayi itu di dalam kereta dan pergi ke kaunter perkhidmatan pusat beli-belah berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Tetapi secara kebetulan, pihak kaunter perkhidmatan memaklumkan kepada Caiyun bahawa sistem pengumuman di pusat beli-belah itu telah rosak dan tiada pengumuman yang boleh dilakukan pada waktu itu.

“Kemudian saya pulang semula ke tempat letak kereta. (Kami) tidak tahu untuk berbuat apa dan tidak berani untuk membuka kereta itu dengan sesuka hati.”

Tidak lama kemudian, dua orang pengawal keselamatan telah datang ke lokasi insiden itu setelah melihat orang ramai berkumpul. Dan setelah mengenal pasti keadaan, pengawal keselamatan itu memutuskan untuk memecahkan sekeping tingkap kecil di belakang tempat duduk penumpang bagi membuka kereta itu dari dalam.

Dan selepas itu, syukurlah, bayi itu berjaya diselamatkan dan ibu bayi berkenaan dilaporkan kembali ke keretanya selepas 15 minit berlalu. Menurut perkongsian Caiyun lagi, ibu bayi itu dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak ada orang membantu jaga anaknya dan bimbang pihak pengurusan pusat beli-belah itu tidak membenarkan kemasukan bayi dan warga emas walaupun sebenarnya pengurusan pusat beli-belah itu tidak menghalang kemasukan golongan ini ke dalam premisnya.

“Saya harap ibu bayi ini belajar dari kesilapannya dan tidak akan melakukannya lagi. Dia mungkin tidak akan bertuah setiap masa,” tulis Caiyun mengakhiri kirimannya.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman yang dimuatnaik pada petang 25 Ogos ini telahpun meraih sehingga lebih dari 4,800 perkongsian, lebih dari 1,400 reaksi dan 241 komen.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP

Video Popular