Kerap kali kita dengar kes-kes melibatkan individu yang menyamar menjadi pegawai ataupun anggota penguat kuasa.

Misalnya polis, saban tahun ada sahaja kes yang melibatkan orang awam ditipu oleh individu sebegini.

Seperti kes yang menimpa seorang suri rumah berusia 59 tahun di Kuantan baru-baru ini, di mana mangsa kerugian RM75,000 akibat ditipu ‘Inspektor Fauzi’.

Mula menerima panggilan daripada wakil PosLaju, wanita itu dimaklumkan telah menerima bungkusan berisi kad pengenalan dan kad bank yang dihantar oleh individu dari Sabah.

Foto hiasan/Bernama

Talian kemudiannya disambungkan kepada ‘inspektor’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah yang mendakwa bahawa mangsa terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.

Ekoran panik, mangsa kemudian telah memasukkan wang berjumlah RM75,000 melalui 15 transaksi ke dalam tiga akaun milik individu yang berlainan.

Oleh itu, adalah penting untuk kita lengkapkan diri dengan sedikit ilmu pengetahuan agar tidak menjadi mangsa penipuan sebegini. Berikut beberapa tips :

#1 Kad Kuasa Polis

Jangan mudah tertipu dengan pakaian seragam ya. Ini kerana seragam anggota polis sebenarnya boleh dibeli dengan harga RM2,000.

Oleh itu, untuk pastikan individu itu polis ataupun tidak, minta mereka menunjukkan Kad Kuasa Polis. Kemudian perhatikan warna kad kuasa berkenaan.

Merah menandakan anggota polis itu telah digantung tugas dan tidak mempunyai kuasa untuk lakukan apa-apa.

Biru pula merupakan polis berpangkat inspektor dan ke atas. Kuning bermaksud polis itu berpangkat inspektor ke bawah. Manakala putih menandakan mereka adalah polis simpanan.

#2 Tanya soalan dengan betul

Foto hiasan/Facebook

Lazimnya polis palsu akan cuba alihkan perhatian dengan menfokuskan kepada apa-apa kesilapan untuk digunakan ke atas mangsa.

Penting untuk diingatkan bahawa anda tidak boleh ditahan melainkan ada sekurang-kurangnya seorang anggota polis berpangkat tinggi (kad kuasa warna biru) di lokasi kejadian.

Jangan melawan kerana polis ada hak untuk menggunakan kekasaran yang dirasakan perlu jika anda bersikap degil. Ini yang perlu anda lakukan :

  • Tanya “Adakah saya ditahan?” Jika ya, tanya mengapa anda ditahan. Jika tiada alasan kukuh, anda tidak boleh ditahan.
  • Tanya balai iaitu lokasi yang anda bakal dibawa.
  • Anda ada hak untuk membuat satu panggilan telefon. Beritahu butiran anggota polis yang menahan anda supaya mereka boleh bantu apa yang patut. Contohnya menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC) seperti yang disenaraikan di bawah :

Pusat Bantuan Guaman
• Kuala Lumpur : 03-2691 3005 / 03-2693 2072
• Selangor : 03-3372 2792
• Negeri Sembilan : 06-7633 035
• Melaka : 06-2845 519 / 06-2864 514
• Johor : 07-2235 698
• Perak : 05-2550 523
• Kedah & Perlis : 04-7333 467
• Kelantan : 04-7448 660
• Pahang : 09-5159 244 / 09-2969 410
• Pulau Pinang : 04-2617 451 / 04-3316 830

  • Selagi bantuan belum tiba, jangan bersuara apa-apa pada anggota polis ya.

#3 Waran

Foto hiasan/The Sun Daily

Jika ada polis yang datang ke rumah untuk jalankan pemeriksaan, pastikan mereka mempunyai waran geledah. Jangan izinkan selagi mereka tidak menunjukkan waran tersebut.

Waran ini merupakan dokumen undang-undang yang memberikan hak kepada mereka untuk memasuki kediaman anda dan menggeledah – sama ada anda benarkan ataupun tidak.

Anggota polis tidak boleh sewenang-wenangnya menggeledah rumah seseorang melainkan ada perkara yang berkaitan dengan kesalahan besar di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Selain itu, jaga jarak dengan mereka. Ini kerana dibimbangi polis palsu bertindak meletakkan barangan terlarang seperti dadah di dalam beg anda pula, untuk menjadikan anda pesalah.

Polis juga hanya boleh memeriksa telefon bimbit anda jika mempunyai waran (Seksyen 247) sahaja mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

#4 Waspada dengan kenderaan yang mencurigakan 

Foto hiasan/Berita Harian

Terdapat kes di mana dua orang lelaki yang membeli kereta polis yang tidak lagi digunakan secara lelong dan mengubahsuainya agar kelihatan sama seperti kereta polis.

Percaya pada naluri anda jika anda ditahan atau diekori oleh individu sebegini dan ikut tips #2. Jangan cuba-cuba mahu sogok pula dengan duit kopi ya.

Jika mereka penyamar, sudah tentu duit kopi yang diminta agak tinggi dan jika mereka polis sebenar pula, anda mungkin akan didakwa kerana menawarkan rasuah!

Pendek kata, sentiasa waspada dan jangan cepat panik. Ketahuilah hak-hak anda agar tidak sewenang-wenangnya ditipu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP NASIONAL

Video Popular