Berbakti kepada haiwan adalah salah satu nilai murni yang seharusnya ada dalam diri semua orang di dunia ini. Walau bagaimanapun, nilai murni ini nampaknya sudah mula ditemui pada usia seawal 10 tahun bagi seorang kanak-kanak lelaki di Brazil ini.

Kanak-kanak tersebut, Joao Gabriel Mota menjadi bualan ramai selepas rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan tindakan spontannya yang membantu seekor anak anjing jalanan menjadi tular di media sosial.

Semuanya berlaku pada suatu hari ketika Joao dalam perjalanan pulang ke rumah daripada sekolahnya apabila dia terserempak dengan seekor anak anjing yang kelaparan dan sudah lemah.

Tanpa berfikir panjang, Joao memutuskan untuk membawa anak anjing itu di dalam beg sekolahnya sebelum Joao akhirnya tiba di kaki lima sebuah farmasi yang menyediakan makanan dan minuman untuk haiwan jalanan.

Sebaik sahaja tiba, Joao mengeluarkan anak anjing itu dan terus mengangkat anak anjing itu ke hadapan bekas makanan dan minuman yang tersedia. Dan, seperti yang dijangka, anak anjing itu tanpa membuang masa terus memakan makanan yang tersedia dengan begitu lahap sekali. 

NTD Chinese/Facebook

NTD Chinese/Facebook

Paling comel, selepas Joao memastikan anak anjing itu benar-benar sudah boleh memakan makanan yang disediakan, Joao dirakam bersedia untuk pergi. Bukan itu sahaja, Joao juga dirakam beberapa kali melambai sebagai tanda selamat tinggal kepada anak anjing yang pada ketika itu sedang sibuk mengisi perut.

NTD Chinese/Facebook

Ketika melakukan tindakan yang murni itu, Joao bagaimanapun kelihatan gelisah. Mungkin kerana Joao memikirkan bahawa tindakannya adalah sesuatu yang salah. Hal ini dapat dibuktikan apabila Joao tidak mengakui melakukan tindakan yang sedemikian selepas ibu bapanya mengetahui tentang video yang tular itu.

“Saya bertanya kepadanya, dan dia langsung tidak memberitahu saya, saya rasa dia takut, takut dia melakukan sesuatu yang salah. Suami saya mencari video itu di internet, dan ketika dia melihat begitu ramai orang yang sudah menonton, kami terkejut,” kata ibu Joao, Sirlei Mota.

Bagaimanapun, selepas dipujuk oleh kedua ibu bapanya, akhirnya Joao mengakui bahawa dia sememangnya melakukan perkara itu, untuk membantu anak anjing yang kelaparan itu. Selepas mengetahui bahawa kini dirinya dianggap sebagai hero tempatan kerana tindakan murninya itu, Joao tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya.

NTD Chinese/Facebook

Bagi anak anjing itu pula, kini anak anjing itu telah menemui pemiliknya yang baharu. Hal ini kerana tidak lama selepas anak anjing itu ditinggalkan oleh Joao, pekerja farmasi berkenaan telah menemuinya dan mereka dengan segera menghubungi seorang penyelamat haiwan, Josiel Pedro Barbosa, yang merupakan pengasas bagi projek penyediaan makanan dan minuman untuk haiwan jalanan itu.

Barbosa juga adalah orang yang bertanggungjawab menularkan video tentang Joao yang meninggalkan anak anjing itu di farmasi berkenaan. Hal ini kerana Barbosa berasa sangat terharu dengan tindakan kanak-kanak 10 tahun itu selepas dia mendapat klip rakaman kamera litar tertutup itu daripada pihak farmasi.

Dan, syukurlah, selepas itu, anak anjing itu telahpun dijaga oleh seorang wanita yang turut sama terharu apabila mengetahui tentang kisah anak anjing itu bersama Joao.

Terima kasih Joao!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular