KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa mendapati masih terdapat beberapa premis perniagaan yang dilaporkan beroperasi lebih masa, iaitu 24 jam.

Sehubungan dengan itu, pemilik premis perniagaan diingatkan agar mematuhi waktu operasi yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 12 tengah malam.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tindakan tegas akan diambil sekiranya pengusaha premis terbabit masih ingkar arahan PKP.

“Ramai yang keliru mengenai waktu operasi bagi premis perniagaan. Kita sudah umumkan bahawa waktu operasi hanya sehingga jam 12 tengah malam”.

Namun tambah beliau, pihak berkuasa mendapati ada premis yang beroperasi sehingga 24 jam seperti kedai serbaneka 24 jam.

‘Saya tidak tahu kenapa mereka buka. Mungkin mereka sudah dapat kebenaran daripada PBT (Pihak Berkuasa Tempatan)”.

“Saya tekankan sekali lagi bahawa semua premis perniagaan dibenarkan dibuka sehingga jam 12 tengah malam sahaja dan tidak lebih dari itu”, katanya.

“Saya tahu ada kedai serbaneka beroperasi lebih masa. Apabila melihat klinik buka 24 jam, dia pun sama nak buka 24 jam. Klinik adalah keperluan kerana sakit tak kira waktu”.

Namun menurutnya, jika kedai serbaneka dibuka hanya untuk pelanggan membeli rokok, ia bukanlah barang keperluan yang membolehkan mereka beroperasi hingga 24 jam.

Menerusi mesyuarat khas pada 27 Ogos, beliau mengumumkan bahawa keputusan mesyuarat menetapkan waktu operasi premis perniagaan termasuk kedai serbaneka adalah hingga jam 12 tengah malam.

Dan untuk klinik atau hospital swasta yang dibenarkan beroperasi 24 jam, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan perlulah sentiasa dipatuhi termasuklah penggunaan aplikasi MySejahtera.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular