Syarikat Pos Malaysia yang merupakan salah satu peneraju perkhidmatan kurier di Malaysia mengumumkan bahawa mereka meraih peningkatan keuntungan sebanyak 20 peratus pada suku tahun kedua pada tahun 2020 berbanding suku tahun yang sama pada tahun 2019.

Peningkatan keuntungan yang mencatatkan perolehan pendapatan tertinggi sebanyak RM606.1 juta itu dilaporkan dinilai sehingga 30 Jun 2020 dan syarikat itu dalam masa yang sama turut melaporkan Untung Selepas Cukai (PAT) bulanan pertama pada Jun 2020 semenjak Januari 2019.

Disamping itu, Pos Malaysia turut mencatatkan kerugian sebelum cukai pada nilai yang lebih rendah iaitu sebanyak 8.6 peratus iaitu RM14.1 juta dan kerugian bersih untuk tempoh yang sama turut mencatatkan penurunan ketara sebanyak 61 peratus berbanding suku pertama tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Syed Md Najib dalam satu kenyataan berkata bahawa kejayaan syarikat ini terutamanya dipacu oleh peningkatan permintaan pelanggan dalam perkhidmatan kurier dan tarif pos.

“Pendapatan perniagaan kurier Pos Malaysia meningkat 20 peratus pada suku kedua berbanding suku sama pada 2019 dengan peningkatan permintaan dari e-dagang dan pasaran dalam talian.

“Inisiatif transformasi syarikat yang digunakan selama 18 bulan terakhir seperti automasi dan sumber khalayak ramai membolehkan kami mengendalikan rata-rata 487,000 bungkusan sehari, mencapai 800,000 dalam tempoh tersebut,” katanya.

Selain itu, Syed Md Najib dalam kenyataan yang sama turut mengesahkan bahawa perkhidmatan perniagaan mel Pos Malaysia turut menikmati peningkatan sebanyak 25 peratus susulan pelaksanaan tarif pos baharu mulai Februari 2020 walaupun jumlah pesanan mel secara relatifnya telah menurun pada April akibat penularan wabak COVID-19.

“Pendapatan perniagaan antarabangsa meningkat 14 peratus hasil semakan harga untuk perkhidmatan pemindahan dan perolehan pelanggan baharu.

“Perniagaan runcit juga mengalami peningkatan yang ketara pada Mei dan Jun setelah penurunan yang singkat pada April selepas kemasukan orang ramai ke pejabat pos susulan pelonggaran Perintah Kawalan pergerakan (PKP),” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut tentang matlamat dan hala tuju syarikat, Syed Md Najib menjelaskan bahawa dengan menjangkakan tren permintaan perkhidmatan kurier akan berterusan sehingga hujung tahun 2020, syarikat ini akan terus memberi tumpuan dalam pelaburan digital, automasi dan sumber khidmat penghantar barang yang menjadi kekuatan syarikat berkenaan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular