Seorang pemandu teksi di Florida menyesali keputusannya yang mempercayai teori palsu berkenaan COVID-19 selepas dia kehilangan isterinya akibat jangkitan virus berkenaan pada awal bulan ini.

Lelaki berkenaan, Brian Lee Hitchens, dan mendiang isterinya, Erin, pada mulanya tidak mempercayai kewujudan COVID-19 kerana telah dipengaruhi dengan maklumat palsu yang ditemui dalam laman Facebook.

Brian Lee Hitchens/Facebook

Bagaimanapun pasangan itu dilaporkan mula jatuh sakit pada awal bulan Mei lalu selepas mereka masing-masing tidak mengamalkan prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh kerajaan ketika berada di tempat awam.

Disamping itu, Brian bahkan masih bekerja sebagai pemandu teksi seperti biasa tanpa mengamalkan apa-apa panduan kesihatan yang telah diuar-uarkan di seluruh dunia. Menurut BBC, pasangan itu juga tidak mendapatkan rawatan dengan segera selepas mula jatuh sakit sehinggalah akhirnya mereka berdua disahkan positif COVID-19.

“Ini adalah virus sebenar yang mempengaruhi orang secara berbeza. Saya tidak dapat mengubah masa lalu. Saya hanya dapat hidup hari ini dan membuat pilihan yang lebih baik untuk masa depan,” kata Brian menyesali keputusannya.

Brian Lee Hitchens/Facebook

Walaupun Brian berjaya sembuh daripada jangkitan virus berkenaan selepas mendapatkan rawatan, keadaan yang sebaliknya pula berlaku kepada mendiang isterinya. Erin yang disahkan dijangkiti COVID-19 telah meninggal dunia selepas bertarung dengan virus berbahaya itu selepas virus itu menyerang jantungnya. Tambahan pula sebelum ini Erin sememangnya mempunyai sejarah penyakit asma.

“Saya berharap saya mendengar dari awal lagi,” kata Brian kepada BBC.

“Erin tidak lagi menderita, tetapi (kini) sudah tenang. Kadang-kala saya merinduinya, tetapi saya tahu dia berada di tempat yang lebih baik,” luah Brian.

Mengulas lanjut tentang ‘kepercayaannya’ pada teori palsu yang ditemui di media sosial, Brian mengakui bahawa dia telah terpengaruh dengan teori palsu yang menyatakan bahawa COVID-19 adalah satu berita palsu yang berkaitan dengan teknologi 5G.

“Kami fikir pihak kerajaan menggunakannya (COVID-19) sebagai topik untuk mengalihkan perhatian kami,” katanya.

Bagaimanapun selepas pasangan ini jatuh sakit pada Mei lalu, Brian melalui laman Facebooknya memuat naik kiriman yang memberi peringatan kepada orang ramai untuk sentiasa berwaspada kerana virus ini bukanlah teori palsu seperti yang dipercayainya sebelum ini.

Brian Lee Hitchens/Facebook

“Sekiranya anda harus keluar sila gunakan kebijaksanaan dan jangan bodoh seperti saya, jadi perkara yang sama tidak akan berlaku kepada anda seperti yang berlaku pada saya dan isteri,” tulisnya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular