KUALA LUMPUR –  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan kepada kerajaan agar menaikkan kadar denda RM1,000 kepada RM10,000 bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah yang dipinda itu telah pun dikemukakan di Parlimen baru-baru ini dan ianya akan mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

Menurutnya, akta tersebut telah digubal pada tahun 1988 dan kadar RM1,000 itu agak munasabah pada ketika itu tetapi kini, ia perlu disemak semula.

Noor Hisham Abdullah/Twitter

“Jadi saya serahkan kepada Parlimen untuk membuat keputusan. Kita harap ia akan dinaikkan ke RM10,000. Apa pun, semuanya ditangan ahli Dewan Rakyat untuk membuat keputusan”.

Merujuk kepada usul yang diajukan baru-baru ini di Dewan Rakyat agar denda maksimum RM1,000 diturunkan menjadi RM250, Dr Noor Hisham mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju.

“Selama dua minggu terakhir di Parlimen, mereka ingin menurunkan (denda) kepada RM250. Kami tidak setuju dengan itu kerana itu adalah kesalahan yang boleh dikompaun”, katanya.

Perkara itu didedahkan oleh beliau ketika sesi dialog di Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2020 pada 25 Ogos.

Pada majlis itu, Dr Noor Hisham menerima pengiktirafan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Ikon Kebangsaan bagi Kepimpinan dalam Kesihatan Awam oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa kerajaan tiada berhasrat untuk menurunkan kadar kompaun berkenaan.

Menurut beliau, kadar tersebut dikenakan bertujuan untuk melindungi masyarakat dan bukannya untuk membebankan sesiapa.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular