AMPANG – Anggota polis berpangkat korporal telah ditahan setelah didapati terbabit dalam kejadian samun seorang wanita warga China di Jalan Perdana 3/10, Pandan Perdana pada 23 Ogos lalu.

Menurut Superintenden Mohd Azam Ismail selaku Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, mangsa yang merupakan jurujual difahamkan sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai makan sekitar jam 7 malam.

Mangsa yang berusia 29 tahun itu kemudian dihampiri oleh tiga lelaki disyaki warga tempatan yang memperkenalkan diri mereka sebagai polis.

Mereka kemudian didakwa telah memegang kedua-dua tangan wanita itu lalu menariknya ke kawasan tempat letak kereta.

Buletin TV3/Facebook

“Jeritan wanita terbabit meminta tolong didengari orang awam yang berada di lokasi, yang kemudiannya memberikannya bantuan”, kata Mohd Azam.

Sehubungan dengan itu, seorang korporal polis berusia 46 tahun telah ditahan oleh orang awam di lokasi kejadian, manakala dua lagi rakannya sempat melarikan diri.

“Semakan mendapati suspek berkenaan merupakan anggota polis berpangkat korporal namun dia sedang dalam status ditahan daripada kerja”.

Buletin TV3/Facebook

Mangsa difahamkan telah mengalami kerugian berupa wang tunai berjumlah lebih kurang RM5,000 dan juga kehilangan barangan peralatan solekan dalam insiden itu.

Walau bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pihak polis juga sudah mengenal pasti identiti dua lagi suspek yang masih bebas.

Usaha untuk mengesan mereka kini sedang giat dilakukan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

Suspek juga difahamkan direman bermula 24 Ogos hingga 30 Ogos kelak.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular