“Tiada murid yang harus berlapar,” coret seorang guru kaunseling perempuan yang berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Konven St. Cecilia, Sabah dalam usaha untuk membantu anak muridnya yang kurang berkemampuan dengan pengenalan Projek Makanan Percuma sejak Mac 2018 lagi.

Maisarah Hannan/Facebook

Guru berkenaan, Maisarah Hannan, 34, berkata kepada Sabah News Today bahawa inisiatif yang dilancarkan itu adalah untuk membantu semua anak muridnya selepas menyedari bahawa murid-murid di sekolah berkenaan datang daripada latar belakang yang berbeza-beza.

“Permulaan projek ini, saya hanya meletakkan 15 hingga 20 bungkus makanan sahaja dengan kewangan sendiri tetapi kini makanan sudah bertambah kira-kira 50 bungkus sehari.

Sabah News Today

“Tetapi setakat ini aktiviti amal berkenaan cuma mampu saya laksanakan tiga hari seminggu dan sewaktu sesi persekolahan sebelah petang sahaja disebabkan faktor kekangan masa,” katanya kepada laman berita berkenaan.

Menerusi projek berkenaan, para pelajar dapat mengambil makanan percuma yang diletakkan di sebuah rak yang ditempatkan di luar bilik guru pada setiap hari Selasa, Rabu dan Jumaat pada setiap minggu.

Maisarah Hannan/Facebook

Pilihan makanan yang disediakan pula adalah berlainan seperti nasi lemak, mi goreng, nasi kuning, kuih-muih atau roti.

Menurut Maisarah lagi, projek yang mendapat sokongan pihak pentadbiran sekolah ini juga turut menerima sumbangan berbentuk wang ringgit daripada mana-mana penyumbang yang berminat.

Baru-baru ini, selepas sekolah kembali dibuka setelah Perintah Kawalan Pergerakan, Maisarah kembali lagi memuat naik gambar anak-anak muridnya yang menikmati hidangan percuma di dalam kelas.

Maisarah Hannan/Facebook

Berbicara tentang matlamatnya dalam usaha untuk mengembangkan lagi projek berkenaan, Maisarah memaklumkan bahawa kini beliau sudah merancang untuk memperkenalkan projek yang sama untuk membantu pekerja di sekolah, termasuklah untuk penjaga keselamatan dan tukang cuci di sekolah.

Sememangnya, usaha murni yang dilakukan oleh guru muda ini merupakan sesuatu yang perlu dicontohi dan perlu diberi penghargaan. Terima kasih Cikgu Maisarah!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular