Beruang liar adalah salah satu haiwan liar yang boleh dikatakan agak ganas dan berpotensi untuk menyerang manusia.

Bagaimanapun, menerusi satu kiriman video yang tular di media sosial baru-baru ini, seekor beruang liar dirakam datang ke meja makan yang diduduki oleh empat orang sekeluarga yang sedang bersantai dan yang mengejutkan, beruang itu kekal tenang dan turut sama menyertai ‘acara’ itu.

Kejadian yang mengejutkan itu berlaku di Deep Creek, Maryland dan video berkenaan telah dimuatnaik di laman TikTok oleh Kaitlyn Nesbit. Menurutnya, ketika dia bersama tiga lagi ahli keluarganya sedang bersantai di sebuah meja, beruang liar yang besar dan berwarna hitam itu tiba-tiba muncul dan menyertai mereka.

Kaitlyn dan ahli keluarganya pada waktu itu dilihat mula berasa takut tetapi mereka terpaksa ‘membekukan’ diri kerana pergerakan mengejut hanya akan mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri. 

Bagaimanapun, semuanya menjadi luar biasa apabila salah seorang daripada kumpulan itu dengan tenang memberikan roti dengan sapuan mentega kacang untuk dinikmati oleh beruang liar itu. Dan yang lebih mengejutkan, haiwan liar itu kelihatan tenang sepanjang rakaman dan lagaknya seperti sudah ‘terbiasa’ dengan manusia!

“Kawasan ini adalah kabin milik rakan saya dan mereka katakan bahawa beruang itu memang selalu berada di kawasan itu dan tidak pernah mengganggu mereka,” kata Kaitlyn menurut laporan Elite Readers.

Caters Clip/YouTube

“Beberapa orang dalam kumpulan kami sudah biasa berada di kawasan liar jadi kami diberitahu untuk tidak melakukan apa-apa pergerakan mengejut dan perlu kekal berada di tempat itu. Ramai antara kami yang berasa sangat takut dan rakaman itu dilakukan daripada balkoni tetapi si berani telah menguji nasibnya,” tambah Kaitlyn panjang-lebar.

Bagaimanapun, Jabatan Sumber Alam Semulajadi Maryland menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan tindakan yang dilakukan oleh salah seorang daripada kumpulan Kaitlyn yang memberi makanan kepada haiwan liar seperti beruang berkenaan. 

“Jangan beri makanan! Halau haiwan itu. Hasilkan suara yang kuat, pukulkan periuk, atau menjerit. Melihat beruang boleh menjadi sangat menyeronokkan. Namun, beruang di kem boleh menyebabkan masalah yang akan berlanjutan lama setelah anda pulang. Jika masalah menjadi serius, keselamatan anda dan keselamatan beruang itu mungkin akan terganggu.”

Walaupun rakaman video yang dimuatnaik ini kelihatan menyeronokkan, namun, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan elakkan daripada memberi makanan kepada haiwan liar seperti yang dipaparkan dalam video ini. Nampak seronok, tetapi sangat berisiko!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular