Antara hal yang paling tidak boleh dielakkan oleh wanita hamil ialah mengidam. Lain orang lain makanan yang diidamkan. Bagi memenuhi kehendak itu, biasanya suami yang akan membantu mereka mendapatkan makanan atau minuman yang mereka inginkan.

Sama juga ceritanya dengan kisah seorang ‘abang poslaju’, Mohammad Zuhelmy Ibrahim yang menerima sebuah plastik berisi mangga yang diberikan oleh seorang tuan rumah untuk isterinya yang sedang mengidam.

Ceritanya bermula apabila dia pergi menghantar bungkusan ke sebuah rumah pelanggan dan di situ terdapat pokok mangga. Memandangkan isterinya yang hamil 7 bulan sedang mengidamkan buah mangga, jadi dia meminta izin tuan rumah tersebut untuk mengambil mangga yang ada pada pokoknya.

Zulhelmy kemudian menulis sebuah nota di atas barang yang dihantar untuk meminta keizinan pemilik rumah itu:

“Salam tuan rumah, pos laju ni, boleh saya minta buah mangga? Esok saya datang ambil, isteri mengandung!” demikian catatan posmen, Mohammad Zuhelmy Ibrahim kepada pemilik rumah di Taman Kinrara, Puchong.

Menurut Zuhelmy hujung minggu lalu, isterinya memberitahu yang dia mahukan mangga segar selepas terlihat pokok buah itu di sebuah kawasan di Puchong. Namun begitu, isterinya tidak mahu membelinya di kedai tetapi mahukan mangga sedar yang dipetik daripada pokok.

Demi menunaikan permintaan isterinya, Zuhelmy menyatakan dia akan cuba mendapatkan buah itu dalam waktu terdekat dan kebetulan dia pernah ternampak pokok mangga di salah sebuah rumah pelanggan kerana sering menghantar barang di situ.

Usaha yang dilakukan Zulhelmy berhasil apabila dia menerima nota balasan daripada pemilik rumah yang menyatakan bahawa sudah memetik dan meninggalkan lima biji buah mangga di dalam plastik di atas rak kasut.

Kisah ini mula tular di laman sosial Twitter apabila anak kepada tuan rumah tersebut memuat naik status mengenai kejadian tersebut. Pada mulanya dia tidak tahu akan perkara tersebut tetapi selepas dimaklumkan oleh kawannya barulah dia tahu ceritanya sudah tular di Twitter.

Sementara itu, isterinya, Afrah berkata bahawa dia sangat gembira selepas suaminya membawa balik buah mangga yang diidamkan.

“Saya sangat gembira dapat makan buah segar yang baru dipetik… Saya juga sangat berterima kasih kepada pemilik rumah yang telah memberikan buah mangga kepada kami,” katanya.

“Jarang jumpa tuan rumah yang berhati mulia macam mereka sekeluarga. Semoga tuan rumah sekeluarga dikurniakan rezeki yang melimpah ruah,” katanya yang dijangka akan melahirkan bayi sulungnya pada November nanti.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular