Tidak dapat dinafikan, karier seorang guru bukanlah satu karier yang mudah dan boleh dipandang rendah. Seorang guru yang benar-benar ikhlas lazimnya akan mencari jalan yang paling sesuai untuk memberi kefahaman sepenuhnya buat semua anak muridnya dalam setiap sesi pembelajaran.

Seorang guru ganti di sebuah sekolah di Johor Bahru, Mohamad Safwan Zulqarnain bin Jebat atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Awan Jebat merupakan salah seorang guru yang sangat kreatif dalam usaha untuk mengajar anak-anak muridnya.

Untuk menarik minat dan memudahkan kefahaman anak murid dalam subjek sejarah, Cikgu Awan Jebat seperti sebuah perkongsian di laman Twitter telah mengenakan pelbagai jenis kostum yang sesuai dengan topik pembelajaran sejarah yang akan diajar.

@nuniwaaa/Twitter

Antara watak-watak yang pernah dibawakannya khas buat anak-anak muridnya adalah seperti watak manusia zaman prasejarah, askar tamadun Rom, ahli falsafah Yunani, Pak Pandir, Indiana Jones, ahli falsafah Islam dan lain-lain lagi.

@nuniwaaa/Twitter

Cikgu Awan Jebat menerusi temubual bersama laman Siakap Keli memaklumkan bahawa inisiatif yang dilakukannya ini sememangnya datang daripada dirinya sendiri dan merupakan hasil imaginasinya sendiri.

“Saya orang yang penuh dengan imaginasi dan saya suka bawa ruang imaginasi saya keluar kelas,” katanya kepada Siakap Keli.

@nuniwaaa/Twitter

Walaupun berkhidmat sebagai guru ganti, Cikgu Awan Jebat juga mengakui bahawa dirinya sedang mengikuti kelas teater anjuran Revolution Stage, iaitu sebuah kumpulan teater tempatan.

@nuniwaaa/Twitter

Selain daripada mengajar subjek Sejarah, Cikgu Awan Jebat juga pernah mengajar beberapa lagi subjek seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Muzik serta Sains bagi pelajar sekolah menengah dan juga rendah.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman daripada @nuniwaaa mengenai Cikgu Awan Jebat di laman Twitter telahpun meraih sehingga lebih dari 1,100 sukaan, 619 ulang kicau dan 16 komen daripada warganet yang benar-benar teruja dan menyokong usaha murni Cikgu Awan Jebat.

@nuniwaaa/Twitter

Nampaknya, Cikgu Awan Jebat sememangnya merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi dan begitu menghargai anak-anak muridnya. Tahniah dan teruskan usaha Cikgu Awan Jebat!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular