Kita sudah biasa mengikut peraturan meletak kenderaan di tempat parkir dengan mempamerkan kupon parkir atau membeli caj parkir menerusi aplikasi parkir majlis perbandaran seperti Flexi Parking, Pahang Go dan sebagainya.

Jika tidak, abang atau kakak penguat kuasa akan memeriksa kupon parkir atau nombor kereta anda dalam sistem mereka yang jika tidak dibayar akan menyebabkan kompaun dikenakan.

Namun di Kuantan, kebimbangan pengguna yang perlu membayar caj parkir ketika meletak kenderaan dapat ditangguhkan buat sementara waktu sekiranya mereka memasang Jalur Gemilang secara patriotik pada kenderaan masing-masing.

Majlis Perbandaran Kuantan/Facebook

Sempena Minggu Kemerdekaan Malaysia ke-63, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah menawarkan parkir percuma bermula 24 Ogos hingga 31 Ogos kepada semua pengguna yang memasang Jalur Gemilang pada kenderaan. 

Laman Facebook Majlis Perbandaran Kuantan dalam posting mereka, “Pengumuman: Parkir percuma sempena Merdeka. MPK memberi parkir percuma dari 24 Ogos hingga 31 Ogos sempena Minggu Kemerdekaan ke-63. Anda boleh meletak Jalur Gemilang pada kereta anda, seperti yang ditunjukkan dalam gambar, dan automatik penguat kuasa MPK tidak akan mengenakan kompaun walaupun anda tidak mempamerkan kupon parkir atau tidak membeli caj parkir di aplikasi Pahang Go.”

Majlis Perbandaran Kuantan/Facebook

Akan tetapi, anda yang berada di Kuantan perlu mengikut peraturan tertentu yang telah ditetapkan iaitu bendera yang dipamerkan mestilah berada dalam keadaan yang baik.

Syaratnya ialah anda mesti memaparkan bendera seperti yang ditunjukkan dalam gambar, dengan Jalur Gemilang yang dipasang mestilah baharu dan tidak koyak bagi memeriahkan Minggu Kemerdekaan Malaysia.

Syarat lain dalam masa promosi ini ialah kenderaan harus diletakkan di petak letak kereta yang diuruskan oleh Majlis Perbandaran Kuantan. Bermakna jika pengguna memasang Jalur Gemilang dengan cukup cantik tetapi meletak kenderaan sesuka hati di tepi jalan, atau di mana sahaja yang mengganggu lalu lintas, maka mereka tetap dikenakan kompaun.

Majlis Perbandaran Kuantan/Facebook

MPK mengajak orang ramai untuk sama-sama memeriahkan Minggu Kemerdekaan Malaysia yang ke-63 dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing, termasuk di premis perniagaan dan kediaman.

Salah satu cara terbaik untuk menggalakkan rakyat Malaysia membina semangat patriotisme dan penyatuan pelbagai bangsa sambil memberi mereka parkir percuma sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular