Lampu brek yang dipasang pada bahagian belakang kenderaan adalah sangat penting fungsinya ketika anda berada di jalan raya.

Ini kerana ia menjadi penanda amaran ketika pemandu di hadapan menekan brek, memberi isyarat kepada pemandu kenderaan di belakang supaya memperlahankan kenderaan dan menjaga jarak di antara satu sama lain supaya tidak melibatkan kemalangan yang tidak diingini.

Pexels/Gambar Hiasan

Seringkali ketiadaan lampu brek ketiga diambil mudah oleh pemilik kenderaan kerana kebanyakan pemandu sering terlupa untuk melakukan pemeriksaan rutin dengan melihat sama ada kedua-dua belah lampu brek dan lampu brek ketiga berfungsi dengan sempurna.

Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain dan risiko dilanggar dari belakang adalah lebih tinggi terutamanya pada waktu malam atau ketika cuaca buruk.

Polis Diraja Malaysia/Facebook

Pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan membiarkan lampu brek ketiga tidak menyala dengan betul atau rosak boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan am dan penalti.

Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi daripada enam bulan. Sekiranya ia adalah sabitan kali kedua, pesalah boleh didenda sehingga RM4,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sila jangan memandang remeh sekiranya lampu brek ketiga pada kenderaan anda tidak menyala. Pastikan anda melakukan pemeriksaan lampu brek secara rutin dan ganti mentolnya dengan segera apabila ia didapati tidak menyala atau rosak.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular