Sejak kecil kita dinasihatkan untuk belajar bersungguh-sungguh supaya kelak apabila dewasa kita boleh mendapakan pekerjaan yang terbaik.

Tidak hanya itu kita juga sering dikatakan bahawa mereka yang melakukan kerja-kerja kasar adalah  mereka yang tidak mempunyai ilmu dan pendidikan. Namun, seiring dengan usia yang semakin meningkat kita baru tahu bahawa semua itu bukanlah sesuatu yang tepat.

Gambar Hiasan/Photo-AC

Untuk mengubah mentaliti seperti ini, kita lah yang harus mengubahnya dahulu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah dengan mendidik anak-anak kecil melihat sesuatu daripada sisi positif. Itulah yang dilakukan oleh seorang ibu untuk mendidik anak kecilnya tentang hidup.

Kisah penuh pengajaran ini dikongsikan di sebuah media sosial oleh seorang ibu dan telah menjadi inspirasi buat ramai…

Pada suatu pagi dia dan anak lelakinya sedang melalui sebuah persimpangan jalan dan kebetulan mereka ternampak beberapa orang pekerja sedang mengecat jalan. Anak kecilnya yang pertama kali melihat semua itu sangat teruja dan ingin berhenti untuk terus melihat akan apa yang dilakukan oleh pekerja-pekerja di situ.

Si kecil itu semakin teruja dan mengatakan apa yang dilakukan oleh pekerja-pekerja itu sangat hebat. Lukisan yang yang dilukis (lintasan zebra) yang dicat juga sangat cantik dan kemas. Apabila mendengar kata-kata itu, salah seorang pekerja di situ mengatakan kepada anak kecil itu bahawa, “kamu mesti belajar bersungguh-sungguh dan jangan bekerja seperti pak cik,”

RedChili21

Mendengar kata-kata lelaki itu, ibu kanak-kanak itu terus menarik anak kecil dan mengatakan sesuatu yang bertentangan daripada apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Katanya ialah:

“Pak cik memang betul-betul hebat. Kerja-kerja itu nampak mudah tetapi memerlukan kemahiran profesional. Pak cik telah belajar bersungguh-sungguh dan berlatih berkali-kali sebelum dia boleh melukis dengan begitu kemas. Kamu juga harus belajar daripada pak cik itu. Pak cik dan kawan-kawannya bekerja keras untuk mengecat laluan itu dan mereka juga melindungi keselamatan kita!”

RedChili21

Selepas berbicara dengan anak kecilnya, wanita ini kemudian menoleh dan berkata kepada lelaki tadi di dalam bahasa Hokkien memandangkan anak kecilnya tidak memahami Hokkien.

Wanita itu bertanya kepada pak cik tadi mengapa dia berkata begitu kepada anak kecilnya kerana baginya setiap pekerjaan adalah baik dan memerlukan kerja keras. Lelaki itu kemudian menjawab dengan mengatakan bahwa semalam ada seorang guru berkata kepada kami bahawa kami bekerja seperti ini kerana kami tidak mempunyai pendidikan.

Wanita itu kemudian memberitahu bahawa dia juga seorang guru dan dia tidak pernah berfikir atau berkata seperti itu. Baginya, mereka yang melakukan kerja-kerja seperti itu adalah mereka yang hebat.

Lelaki itu barulah sedar bahawa rupa-rupanya tidak semua orang mempunyai fikiran negatif seperti itu. Di luar sana masih ada ramai yang baik dan mempunyai tanggapan yang baik mengenai mereka yang bekerja di bawah terik matahari.

Gambar Hiasan/Photo-AC

Hakikatnya, setiap pekerjaan adalah baik jika selagi tidak salah di sisi undang-undang dan dilakukan dengan seikhlas hati.

Tidak kiralah apa jenis pekerjaan, atau di mana anda bekerja berbanggalah kerana setiap pekerjaan yang anda lakukan adalah sesuatu yang hebat!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular