KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati seorang remaja berusia 19 tahun, suspek utama dalam insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden sebagai bersalah pada 17 Ogos.

Hakim Datuk Azman Abdullah ketika menyampaikan keputusan berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah atas kesemua 23 pertuduhan membunuh, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan pula telah mewujudkan kes prima facie ke atas kesemua pertuduhan yang dinyatakan.

Bagaimanapun, memandangkan jenayah itu dilakukan ketika tertuduh berusia 16 tahun, maka Seksyen 97 Akta Kanak-kanak 2001 adalah terpakai, dan remaja berkenaan dikenakan perintah tahanan selama yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya memutuskan penama satu gagal mewujudkan keraguan munasabah atas kesemua 23 pertuduhan di bawah Seksyen 302 Membunuh Dengan Sengaja, dan pihak pendakwaan membuktikan kesemua 23 pertuduhan tanpa keraguan. Oleh itu saya mendapati tertuduh telah melakukan jenayah tersebut, dan disabitkan,” kata Hakim Azman.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan seorang lagi remaja, yang dituduh secara bersama tanpa dipanggil membela diri, selepas pertuduhan yang dipinda pada keputusan akhir kes pendakwaan.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja berkenaan bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Tertuduh didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1)  Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman perintah tahanan penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) Akta sama.

Seksyen 94 Akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Sementara itu, peguam bela Haijan Omar memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan di peringkat seterusnya dalam masa terdekat.

Menurut Haijan ketika ditemui media di luar kamar mahkamah, pihaknya berasa tidak puas hati dengan keputusan itu, dan anak guamnya bertegas tidak melakukan jenayah yang disabitkan.

“Kita semestinya tidak berpuas hati kepada keputusan hari ini, dan kita mendapat arahan untuk memfailkan rayuan kepada mahkamah lebih tinggi, jadi kita akan failkan rayuan dalam masa yang ditetapkan, kita lihat kepada keputusan bertulis Mahkamah Tinggi ini dan kita bergerak dari situ,” kata Haijan.

“Ahli keluarga anak guam saya bersedih, tetapi mereka faham ini bukan pengakhiran. Kita ada peringkat lain lagi jadi kita akan melalui proses yang adil,” tambahnya.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memberitahu media, pihaknya sudah melakukan yang terbaik, tetapi membayangkan kekecewaan kerana sepatutnya seorang lagi suspek turut dibicarakan.

“Kita terima keputusan sebab kita sudah buat kes ini dengan sebaik mungkin. Tapi itulah seorang saja dipanggil dalam pembelaan dan disabitkan, manakala seorang lagi suspek tidak dapat dicamkan. Tetapi kita terima keputusan dan kes sudah selesai, sekarang ini menunggu untuk peringkat rayuan,” kata Julia.

Tragedi menyayat hati pada 14 September 2017 telah mengorbankan 21 pelajar tahfiz dan dua warden di Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran yang menyebabkan seluruh negara berduka.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular