Isu peningkatan kos sara hidup dan pendapatan yang tidak selari merupakan masalah utama bagi rakyat Malaysia secara amnya.

Ini kerana kenaikan harga barang dikatakan tidak seiring dengan kadar peningkatan gaji dan upah, lantas memaksa majoriti rakyat Malaysia untuk bekerja lebih daripada satu pekerjaan.

Walaupun mempunyai pekerjaan tetap, rata-rata daripada kita sudah pasti menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sendiri untuk mendapatkan duit poket yang lebih.

@sassylemonlima/Twitter

Seperti apa yang dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter, @sassylemonlima atau nama sebenarnya Aminah Farid. Dia berkongsi kisah ibunya yang menjual minuman Milo untuk menambahkan pendapatan keluarga.

Menurut Aminah, ibunya yang bekerja sebagai guru tadika itu menyedari bahawa gaji yang diterima tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Oleh itu, ibu Aminah yang juga merupakan ibu tunggal memutuskan untuk menyertai industri makanan dan minuman menerusi Milo. Dia mendapat lesen untuk menjual minuman jenama itu.

@sassylemonlima/Twitter

Jelas Aminah, sudah tiga tahun ibunya berkecimpung dalam perniagaan secara kecil-kecilan ini. Di usia 53 tahun, ternyata banyak cabaran yang perlu dilalui ibu cekal itu untuk menjalankan perniagaannya.

Ia termasuklah perlu membahagikan masa sebaiknya memandangkan ibu gadis itu bekerja sebagai guru pada pagi hari. Walaupun jualannya laris namun pandemik yang melanda sedikit sebanyak menjejaskan jualannya.

Ini kerana, ibu Aminah difahamkan berniaga di kawasan sekolah-sekolah berdekatan, sedangkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sesi persekolahan tidak berjalan dan sekolah ditutup.

Berbekalkan tekad untuk menambah pendapatan keluarga menerusi perniagaan, kisah ibu Aminah ini ternyata membuka mata dan memberi inspirasi buat netizen di luar sana.

Walaupun bangga dengan usaha ibunya, Aminah juga sempat meluahkan kebimbangan tentang isu perbezaan pendapatan ketara yang berlaku di negara kita.

@sassylemonlima/Twitter

Seperti yang kita tahu, sebelum ini Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) telah menaikkan kadar kemiskinan iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) daripada RM980 menjadi RM2,208.

Ini menyebabkan kadar kemiskinan di Malaysia telah meningkat daripada 0.4% pada tahun 2019 menjadi 5.6% pada tahun 2020.

Menerusi hasil pekali Gini yang digunakan untuk mengukur jurang pendapatan, kita dapat lihat jurang pendapatan yang semakin meluas dalam 5 tahun terakhir ini.

@sassylemonlima/Twitter

Misalnya pada tahun lepas, nilai pekali Gini adalah pada 0.407 (peningkatan sebanyak 0.008%) daripada 0.399 pada tahun 2016.

Untuk makluman, nilai pekali Gini 0 bermaksud bahawa setiap orang memperoleh jumlah yang sama.

Semakin ramai yang mula berhadapan dengan realiti ekonomi yang terjejas teruk ekoran pandemik yang berlanjutan.

Kita dapat lihat bahawa jurang perbezaan pendapatan yang besar akhirnya menyebabkan lebih ramai individu yang tidak bernasib baik, tergelincir di bawah garis kemiskinan.

Sebagai contoh, gaji minimum yang diumumkan pada bulan Februari lalu ditetapkan pada paras RM1,200 sedangkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang baru adalah pada RM2,208.

Seperti kisah ibu Aminah, diharapkan agar kita juga kekal tabah dalam menghadapi cabaran ekonomi yang mendatang.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP NASIONAL

Video Popular